Chris Hipkins dilantik sebagai Perdana Menteri ke-41 New Zealand
Astro Awani
Januari 24, 2023 07:00 MYT
Januari 24, 2023 07:00 MYT
WELLINGTON: Chris Hipkins secara rasmi dilantik sebagai Perdana Menteri baharu New Zealand menggantikan Jacinda Ardern.
Pelantikan Hipkins disahkan oleh wakil Raja Charles di New Zealand, Gabenor Jeneral Cindy Kiro selepas mengangkat sumpah jawatan pada jam 11.23 pagi Rabu menjadikannya Perdana Menteri ke-41 New Zealand.
Ia menyusul selepas bekas Perdana Menteri Jacinda Ardern, 42, menyerahkan warkah peletakan jawatannya kepada Kiro awal pagi Rabu.
Hipkins, 44, yang merupakan bekas Menteri Tindak Balas COVID-19 dan Menteri Polis dipilih oleh Parti Buruh secara rasmi Ahad lepas.
Hipkins kemudiannya mengadakan pertemuan pertamanya dengan Menteri Buruh sebelum bertemu media.
"Ini merupakan satu keistimewaan dan tanggungjawab terbesar dalam hidup saya.
"Saya teruja dengan cabaran yang mendatang," kata Hipkins dalam ucapan pertamanya sebagai PM.
Sementara itu, jawatan Timbalan Perdana Menteri pula disandang Carmel Sepuloni yang turut mengangkat sumpah jawatan pada Rabu.
Hipkins kini perlu membina semula sokongan untuk parti yang agak ketinggalan dalam tinjauan pendapat menjelang pilihan raya pada Oktober.
Beliau juga akan mempengerusikan mesyuarat kabinet pertamanya pada Rabu.