China umum kelonggaran sekatan COVID-19, di tengah-tengah bantahan awam
Bernama
Disember 7, 2022 21:12 MYT
Disember 7, 2022 21:12 MYT
BEIJING: Kerajaan China melaksanakan pakej baharu membabitkan 10 langkah kelonggaran dasar sifar COVID-19, yang telah menyebabkan bantahan besar-besaran di seluruh negara sejak beberapa minggu kebelakangan ini, menurut Majlis Negara China pada Rabu.
Disebabkan peningkatan wabak COVID-19 ketika musim gugur, pihak berkuasa China memperkenalkan sekatan separa di beberapa kawasan dan penduduk setempat diminta menjalani ujian PCR setiap hari, lapor Sputnik.
Langkah sekatan diperketatkan di Beijing, Shanghai dan beberapa bandar besar lain mulai 24 Nov.
Orang ramai memprotes dengan turun ke jalanan bagi menuntut sekatan pergerakan dan ujian harian ditamatkan.
Kerajaan China kini mengarahkan semua wilayah untuk melaksanakan zon risiko epidemiologi dengan lebih berhati-hati, dan hanya menetapkan bangunan, pangsapuri, dan isi rumah dengan kes COVID-19 yang disahkan, menurut Majlis Negara.
Sementara itu, hanya mereka yang bekerja atau tinggal di kawasan berisiko tinggi perlu menjalani ujian PCR.
Keputusan ujian PCR negatif tidak lagi diperlukan untuk melawat tempat awam, kecuali kemudahan perubatan, rumah jagaan, kemudahan penjagaan kanak-kanak, sekolah rendah dan menengah.
Ujian PCR dan "kod kesihatan" elektronik juga tidak lagi diperlukan bagi perjalanan dari satu wilayah ke wilayah lain.
Langkah lain termasuk membolehkan orang yang tidak bergejala atau mempunyai simptom ringan kekal menjalani kuarantin di rumah.
Kerajaan akan membatalkan sekatan di kawasan berisiko tinggi jika tiada kes baharu dikesan dalam tempoh lima hari.
Pihak berkuasa juga mengarahkan supaya farmasi di seluruh negara beroperasi seperti biasa.
-- BERNAMA