China umum hukuman berat, termasuk mati, jika ganggu usaha cegah koronavirus

Agensi
Februari 8, 2020 14:13 MYT
Kerajaan China mengeluarkan peraturan baharu yang membolehkan ia menghukum individu yang menghalang usaha mengawal epidemik koronavirus. -Gambar fail
KERAJAAN China mengeluarkan peraturan baharu yang membolehkan ia menghukum individu yang menghalang usaha mengawal epidemik koronavirus.
Mereka yang melanggar peraturan itu akan ditahan dan dikenakan hukuman dengan segera, malah boleh dijatuhi hukuman mati.
Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini, Suruhanjaya Kesihatan China, Mahkamah Agung dan Kementerian Keselamatan Awam negara itu telah menyenaraikan tujuh jenis perkara yang boleh diisytiharkan sebagai perlakuan jenayah berkaitan gangguan kesihatan.
Pengenalan akta itu akan membabitkan penangkapan, pendakwaan dan perbicaraan berikutan epidemik pencegahan dan kawalan berada di "peringkat kritikal."
Kenyataan itu turut berakhir dengan kenyataan hukuman mati tidak akan dikecualikan dalam kes-kes yang teruk.
Tujuh jenayah berkaitan kesihatan yang terjejas oleh peraturan baharu itu ialah:
- Perlakuan memukul, sengaja mencederakan dan membunuh anggota kesihatan.
- Menyekat kebebasan peribadi anggota kesihatan secara haram seperti dengan menggunakan keganasan, ancaman, atau secara terang-terangan menghina, mengancam, atau memfitnah kakitangan perubatan.
- Sengaja melukakan atau meludah anggota perubatan sehingga boleh menyebabkan kakitangan perubatan dijangkiti koronavirus.
- Menolak daripada diperiksa, dikuarantin dan menerima rawatan yang ditetapkan institusi kesihatan dengan menggunakan kekerasan, ancaman atau lain-lain cara, atau tidak mengikut arahan dalam kerja-kerja penghapusan mayat pesakit.
- Memaksa atau sengaja memusnahkan atau mengganggu harta benda institusi kesihatan dengan meninggalkan mayat secara haram, melakukan upacara berkabung tanpa kebenaran, mengganggu atau menghalang kerja-kerja pencegahan dan pengawalan epidemik.
- Membawa senjata secara haram, peluru, instrumen yang tidak dibenarkan atau menggunakan bahan letupan, bahan radioaktif, bahan beracun atau menghakis ketika memasuki institusi perubatan dan kesihatan.
- Keadaan lain yang melanggar keselamatan anggota perubatan dan mengganggu perintah perubatan.
#China #haram #jenayah #kerajaan #keselamatan #kesihatan #koronavirus #mahkamah #mati #perubatan
;