China tuan rumah Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC 2026 - Xi

Bernama
November 17, 2024 10:53 MYT
Xi Jinping menunggu untuk bertemu Presiden Amerika Syarikat Joe Biden sebelum mengadakan mesyuarat dua hala, di Lima, Peru, 16 Nov 2024. (Foto AP)
LIMA: China akan menjadi tuan rumah Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC pada 2026, kata Presiden China Xi Jinping pada Sabtu.
Xinhua melaporkan bahawa pengumuman itu dibuat semasa Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC ke-31 yang diadakan di ibu negara Peru, Lima, di mana pemimpin ekonomi APEC berhimpun untuk membincangkan cabaran global mendesak termasuk perdagangan, kemampanan dan pertumbuhan inklusif.
"Kami berharap dapat bekerjasama dengan semua pihak bagi memperkukuh kerjasama Asia Pasifik untuk manfaat rakyat di rantau ini," kata Xi.
Kenyataan Xi itu menandakan kali ketiga China akan menjadi tuan rumah perhimpunan berprestij itu sejak penubuhan APEC pada 1989.
"Selama beberapa dekad, APEC telah memainkan peranan penting dalam memacu kejayaan pembangunan, kemakmuran dan kesalinghubungan di Asia dan Pasifik, menjadikan rantau ini ekonomi paling dinamik dan enjin utama pertumbuhan ekonomi global," kata Xi pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC ke-31.
Mengambil maklum bahawa kerjasama Asia Pasifik berdepan dengan cabaran seperti peningkatan kecenderungan geopolitik, unilateralisme dan perlindungan perdagangan, Xi menggesa ekonomi APEC untuk bertindak dalam perpaduan dan bekerjasama bagi mengatasi cabaran itu.
-- BERNAMA
#China #Xi Jinping #Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC 2026 #APEC
;