China tidak kuat kuasa sekatan PBB ke atas Korea Utara - Presiden Yoon

Bernama
Mei 2, 2023 04:44 MYT
YOON: Jika mereka tidak berpuas hati dan mengkritik kami kerana menerima pakai Deklarasi Washington dan meningkatkan kerjasama keselamatan berasaskan nuklear, mereka patut mengurangkan ancaman nuklear. - Gambar fail/AP
SEOUL: Presiden Yoon Suk Yeol pada Selasa berkata Korea Selatan tidak mempunyai pilihan selain bergantung kepada Amerika Syarikat (AS) dalam isu berkaitan "cegah-rintang nuklear", memandangkan Beijing sama sekali tidak menguatkuasakan sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke atas Korea Utara.
Yoon membuat kenyataan itu selepas membuat penampilan mengejut pada majlis makan tengah hari untuk wartawan di pekarangan pejabat presiden, menurut Agensi Berita Yonhap.
Jamuan itu dianjurkan sempena lawatan media ke Taman Kanak-kanak Yongsan, bersebelahan pejabat presiden yang akan dibuka kepada orang ramai pada Khamis.
"Jika mereka tidak berpuas hati dan mengkritik kami kerana menerima pakai Deklarasi Washington dan meningkatkan kerjasama keselamatan berasaskan nuklear, mereka patut mengurangkan ancaman nuklear atau sekurang-kurangnya mematuhi undang-undang antarabangsa dan berpegang pada sekatan Majlis Keselamatan PBB terhadap ancaman nuklear.
"Jika mereka tidak mematuhi sekatan terhadap pelanggaran resolusi Majlis Keselamatan PBB, kami tidak mempunyai pilihan," katanya.
Korea Utara dikenakan sekatan oleh PBB ekoran ujian senjata nuklear dan peluru berpandu balistik yang melanggar resolusi Majlis Keselamatan.
-- BERNAMA
#Korea Selatan #Majlis Keselamatan PBB #peluru berpandu balistik #ancaman nuklear
;