China terus perkukuh sokongan, negara APEC perlu bijak curi peluang
Madiha Abdullah
November 20, 2020 23:39 MYT
November 20, 2020 23:39 MYT
KUALA LUMPUR: Sokongan yang ditunjukkan China terhadap negara jirannya di Asia Pasifik bukan sekadar kata-kata, sebaliknya sudah pun dibuktikan dengan tindakan.
Wartawan Radio Antarabangsa China, Zhang Hong berpendapat, China pastinya akan terus memperluas keterbukaan dalam usaha membantu negara jiran memperluaskan pasaran mereka.
"China akan terus perluas keterbukaan dan menyokong usaha teroka pasaran sendiri, ketika pasaran China semakin besar dan pembangunan ekonomi pula semakin berkualiti.
"Jadi, negara rantau ini perlu bijak ambil peluang meneroka pasaran China, dari produk pertanian hinggalah teknologi tinggi seperti 5G dan satelit, semua boleh cari peluang dan rakan dagang di China.
"Ini bentuk sokongan terbesar China bagi membantu negara-negara serantau hadapi kemerosotoan ekonomi akibat COVID-19," katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI Khas, pada Jumaat.
Tambahnya, kemampuan dan kapasiti besar yang dimiliki China perlu dimanfaat dan China sendiri dilihat bersedia berkongsi segala kepakaran bagi memperkukuh kerjasama antara negara Asia Pasifik.
"Perlu ada pertukaran manfaat, seperti mana sebelum ini apabila negara Barat mahu memasuki pasaran China, kami aplikasikan strategi yang sama.
"Teknologi tiada sempadan perlu dimanfaat sebaik mungkin dan saya percaya kerjasama antara China dengan Asia Pasifik bukan sekadar kuat dari segi perdagangan dan perkhidmatan, tetapi juga bidang berteknologi tinggi," katanya.
Dalam pada itu, janji China untuk memastikan vaksin COVID-19 boleh diakses oleh negara jiran terutama negara membangun dilihat Zhang satu komitmen, seperti yang diluahkan oleh Presiden China Xi Jinping.
"China belum selamat selagi negara jiran masih terkesan. Walaupun kes tempatan di China sudah berkurangan, tetapi risiko masih tinggi kerana negara-negara serantau masih banyak yang terkesan.
"Kerana itu China menjanjikan apabila vaksin sudah siap, negara-negara Asia akan diberi keutamaan, selain memastikan harga yang berpatutan sebagai satu produk awam," ujarnya.