China temui petunjuk kewujudan air di permukaan bulan
Agensi
Jun 18, 2022 11:40 MYT
Jun 18, 2022 11:40 MYT
BEIJING: Saintis China dilapor menemukan petunjuk kewujudan air dalam sampel yang diambil dari dataran lava di permukaan bulan.
Penemuan ini secara tidak langsung membawa mereka lebih dekat dalam usaha memahami asal-usul elemen itu di sana dan persoalan penting bagi penerokaan bulan di masa hadapan.
Dalam kajian diterbitkan dalam Nature Communication minggu ini, para saintis berkata, mereka telah menganalisis sisa-sisa lava pejal yang diambil melalui misi China tanpa kru dari dataran dikenali sebagai 'Ocean of Stroms' dan menemui bukti kehadiran air dalam bentuk hidroksil di dalam mineral kristal dikenali sebagai 'apatite'.
Hidroksil, yang terdiri daripada atom hidrogen tunggal dan atom oksigen berbanding dua hidrogen kepada satu oksigen dalam molekul air yang juga ditemui dalam sampel yang diambil oleh NASA beberapa dekad lalu.
Secara meluas dipercayai bahawa kebanyakan air di bulan adalah hasil daripada proses kimia yang dicetuskan oleh pengeboman zarah bercas daripada matahari di permukaan bulan.
Sumber hidroksil dalam mineral seperti 'apatite' berkemungkinan besar adalah asli, kata saintis.
"Kandungan hidroksil dalam bahan asing yang dihasilkan oleh proses impak mungkin boleh diabaikan," kata saintis.
Sampel China itu mencadangkan sedikit atau tiada hidroksil di dalamnya adalah daripada "sumber luar".
Misi Chang'e-5 China (dinamakan sempena mitos dewi bulan China) membawa balik 1,731 gram sampel pada Disember 2020 selepas mengambil tanah dan batu dari bahagian dataran 'Oceanus Procellarum' yang tidak pernah dikunjungi sebelum ini.
China dijangka melancarkan lebih banyak misi lunar yang belum digerakkan pada tahun-tahun akan datang, dengan kajian air sebagai salah satu objektifnya.
Kehadiran air di bulan dapat memberi lebih banyak maklumat tentang evolusi sistem suria.
Ia juga boleh menunjukkan jalan ke sumber air yang penting kepada mana-mana penempatan manusia untuk jangka masa panjang.
"Sumber dan pengagihan air di bulan masih menjadi persoalan terbuka tanpa konsensus," kata saintis.