China temui mineral baharu di bulan

Sinar Harian
September 11, 2022 08:30 MYT
China menemui mineral baharu yang diberi nama Changesite-(Y). - Foto Globatimes. - CN
BEIJING: Institut Penyelidikan Uranium Geologi Beijing mendakwa China berjaya menemui sejenis mineral baharu di bulan baru-baru ini.
Mineral itu ditemui selepas ia dipisahkan daripada 140,000 zarah kecil dan kemudian dianalisis melalui satu siri kaedah mineralogi termaju, menurut institut tersebut.
Namun, setakat ini masih belum diketahui lagi sama ada mineral tersebut boleh digunakan di bumi.
Pada awalnya ia ditemui dalam sampel batu dan tanah yang dibawa balik dari permukaan bulan pada tahun 2020 dengan menggunakan sebuah kapal angkasa tanpa pemandu.
Sebelum ini kapal angkasa Chang'e-5 kembali ke bumi pada 17 Disember 2020 dengan membawa sampel bulan untuk dianalisis oleh China.
Buat masa ini, ia dinamakan Changesite-(Y).
Changesite-(Y) termasuk dalam kategori merrilit bulan iaitu mineral yang terdapat dalam batuan bulan dan meteorit.
Ia ialah sejenis mineral fosfat yang terdapat dalam kristal kolumnar.
Pengumuman itu meletakkan China sebagai negara ketiga yang menemui mineral baharu di bulan.
Sebelum ini, Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet yang kini telah dibubarkan dan dikenali sebagai Rusia turut berjaya menemui mineral baharu di bulan.
Penemuan itu menjadikan ia adalah mineral keenam yang ditemui di bulan. - Sinar Harian memetika laporan agensi
#mineral baharu #bulan #Changesite- Y #Institut Penyelidikan Uranium Geologi Beijing
;