China tawar wang, iPhone galak rakyat derma sperma
Nizam Bakeri
Jun 15, 2016 08:00 MYT
Jun 15, 2016 08:00 MYT
DEMI negara, dermakan sperma.
Begitulah mesej yang dihantar oleh kerajaan China kepada warganegara lelaki berusia 20 hingga 45 tahun berikutan bank sperma negara itu kini mengalami kekurangan sperma.
Menurut The New York Times, keputusan kerajaan memansuhkan undang-undang seorang anak bagi setiap pasangan di negara itu menyebabkan ramai pasangan berusia yang cuba untuk mendapatkan anak kedua.
Media tempatan utama mula menyebarkan mesej patriotik seperti “bantu negara atasi masalah penuaan” dan “beri sumbangan kepada masyarakat” untuk meningkatkan bilangan penderma sperma.
Beberapa bank sperma dilaporkan mengambil pendekatan lebih agresif dengan menawarkan wang tunai sehingga AS$1,000 (RM4,100) dan iPhone 6s sebagai ganjaran.
Kempen ini bagaimanapun berhadapan laluan sukar.
Amalan perubatan tradisional Cina mempercayai kandungan sperma dalam tubuh yang tinggi dapat memanjangkan usia menyebabkan ada yang enggan menderma.
Penggunaan sperma orang asing dalam membentuk keluarga juga bertentangan dengan nilai kepercayaan Confucius.