China sumbang dana kepada UNRWA, tingkat bantuan ke Gaza

Bernama
Ogos 2, 2024 23:15 MYT
Antonia Marie De Meo dan Zeng Jixin hadir pada majlis menandatangani perjanjian untuk menyumbangkan sejumlah dana kepada UNRWA di Timur Dekat pada Khamis. - Foto BERNAMA
BEIJING: Perwakilan China di Palestin menandatangani perjanjian untuk menyumbangkan sejumlah dana kepada Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) di Timur Dekat pada Khamis.
Ketua Perwakilan China di Palestin, Zeng Jixin dalam majlis penandatanganan itu berkata China sentiasa memberikan sokongan kepada UNRWA sementara menyeru masyarakat antarabangsa menyokong agensi itu melaksanakan misinya.
"Sumbangan derma wang oleh China kali ini adalah untuk menyokong UNRWA meningkatkan bantuan kemanusiaan kecemasan ke Gaza," kata Zeng.
Beliau menegaskan bahawa China akan terus bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa untuk menamatkan konflik di Gaza selain berusaha untuk mengurangkan bencana kemanusiaan dan melaksanakan "penyelesaian dua negara".
Timbalan Pesuruhjaya UNRWA, Antonia Marie De Meo menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada China atas sokongannya kepada kerja agensi itu selama ini.
Beliau menyifatkan wang derma dari China sebagai amat penting, di samping menyatakan kesediaan untuk mengukuhkan kerjasama dengan China bagi mengurangkan krisis kemanusiaan di Gaza.
-- BERNAMA
#UNRWA #China #Palestin #dana