China sokong usaha Kazakhstan untuk sertai BRICS
Bernama
Julai 4, 2024 04:15 MYT
Julai 4, 2024 04:15 MYT
ASTANA : China pada Rabu menyatakan sokongannya terhadap usaha Kazakhstan untuk menyertai kumpulan BRICS.
Pengumuman itu dibuat dalam satu kenyataan bersama selepas pertemuan antara Presiden Xi Jinping dan Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev.
Menurut kenyataan itu, Xi berkata China menyokong kemasukan Kazakhstan ke dalam BRICS sebagai salah satu Kuasa Tengah untuk memainkan peranan yang semakin meningkat dan menyumbang kepada hal ehwal dan pengurusan global.
"China menyokong Kazakhstan untuk menyertai kumpulan BRICS.
"Kumpulan BRICS termasuk ekonomi sedang pesat membangun yang paling menonjol, iaitu Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan serta sejak awal tahun ini juga Mesir, Ethiopia, Iran dan Emiriah Arab Bersatu," katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Luar Kazakhstan Roman Vassilenko ketika ditemui pemberita pada Khamis, berkata keputusan negara itu untuk memohon keahlian BRICS tidak bermakna ia menyokong blok tertentu.
"Bagi kami, jika ada platform kerjasama ini maka kami ingin menjadi sebahagian daripadanya.
"Pada masa lalu, presiden kami pernah dijemput untuk menghadiri beberapa mesyuarat 'BRICS Plus'. Secara umum, ini adalah salah satu dimensi dasar luar kami untuk membangunkan hubungan ini dengan Rusia, China dan India.
"Mereka semua adalah ahli BRICS begitu juga Afrika Selatan. Tetapi bagi kami, ini adalah sebahagian daripada visi untuk mendekati semua rakan kongsi termasuk Barat," katanya.
-- BERNAMA