China serah barangan bantuan kemanusiaan kepada Palestin

Bernama
Disember 5, 2023 08:15 MYT
Bantuan kemanusiaan yang disumbangkan oleh China akan dihantar ke Gaza secara berkumpulan. - Gambar fail/REUTERS
KAHERAH: Majlis menandatangani sijil penyerahan barangan bantuan kemanusiaan kecemasan dari kerajaan China kepada Gaza, Palestin diadakan di sini pada 3 Dis.
Duta China ke Mesir Liao Liqiang, Duta Palestin ke Mesir Diab Al Louh dan Pengarah Eksekutif Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir Ramy El-Nazer menghadiri majlis berkenaan.
"China telah menghulurkan sejumlah 40 trak bekalan bantuan, termasuk bahan bantuan bencana, bahan kesihatan dan perubatan," kata Ramy.
Liao Liqiang ketika berucap pada majlis itu menyatakan bahawa China sentiasa memainkan peranan sebagai negara besar yang bertanggungjawab sejak tercetusnya konflik Palestin-Israel.
"Presiden China Xi Jinping baru-baru ini berkata bagi meredakan ketegangan situasi kemanusiaan di Gaza, China akan menyediakan bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui Mesir.
"Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Encik Ramy yang menjayakan penghantaran bahan bantuan terbabit," kata Liao.
Selain itu, Duta Palestin Diab Al Louh pula menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada China atas sokongan dan bantuannya kepada rakyat Palestin selama ini.
Bantuan kemanusiaan yang disumbangkan oleh China akan dihantar ke Gaza secara berkumpulan.
Kumpulan pertama telah dihantar ke El-Arish, Mesir dari Kaherah pada 28 November dan akan dihantar ke Gaza melalui pintu masuk Rafah.
-- BERNAMA
#China #bantuan kemanusiaan #Palestin #Gaza