China sentiasa jalin hubungan rapat dengan dunia - Presiden Xi
Bernama
Januari 2, 2023 18:27 MYT
Januari 2, 2023 18:27 MYT
BEIJING: Sempena sambutan tahun baharu 2023 Presiden China Xi Jinping menyampaikan perutusan melalui Kumpulan Media China (CMG) dan Internet.
Xi dalam perutusan itu berkata China sentiasa menjalinkan hubungan rapat dengan dunia dan bakal mendakap masa depan yang lebih indah serta berharap dunia akan terus aman dan sentosa.
Penganalisis asing menyifatkan perutusan itu sebagai amat memberangsangkan buat seluruh dunia.
Menurut media asing, Kongres Kebangsaan ke-20 Parti Komunis China (PKC) yang diadakan dengan jayanya merupakan 'peristiwa paling signifikan di China' pada 2022.
Kongres itu bukan sahaja merangka cetak biru ke arah membangunkan China sebagai negara sosialis moden secara menyeluruh, malah menjadi titik permulaan baharu untuk China dan dunia bergandingan mencipta masa depan yang indah.
Pada 2022, China kekal sebagai entiti ekonomi kedua terbesar di dunia, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka mencecah RMB120 trilion (kira-kira RM76 trilion).
Ekonomi China tetap berdaya tahan, berpotensi besar dan penuh dinamik serta mengekalkan trend perkembangan yang baik dalam jangka panjang.
Berdepan wabak COVID-19 yang masih menular di dunia, kerajaan China sentiasa mengamalkan prinsip 'rakyat didahulukan, nyawa diutamakan', menjalankan kerja pencegahan wabak secara saintifik dan bersasar serta mengubah suai langkah kawalan berkenaan mengikut keadaan semasa.
"Kini, usaha melawan wabak memasuki fasa baharu dan masih agak mencabar. Semua orang berjuang sehabis daya, sinar harapan berada di hadapan," kata Xi.
Xi berkata China berhubung rapat dengan dunia yang menyaksikan pada 2022 beliau telah menyambut kedatangan ramai kawan baharu dan lama di Beijing dan mengadakan lawatan ke luar negara untuk berkongsi saranan dan inisiatif China.
Beliau menegaskan bahawa kegigihan mencipta keajaiban, lahirnya kekuatan daripada perpaduan dan harapan digalas di bahu generasi muda.
-- BERNAMA