China sedia bantu negara terjejas akibat siklon Mocha
Bernama
Mei 16, 2023 18:22 MYT
Mei 16, 2023 18:22 MYT
BEIJING: China sedia menawarkan bantuan kemanusiaan kecemasan yang diperlukan kepada negara-negara yang terkesan akibat siklon Mocha, termasuk Myanmar, kata jurucakap Agensi Kerjasama Pembangunan Antarabangsa China (CIDCA), Xu Wei pada Isnin.
"China amat prihatin terhadap bencana siklon Mocha yang membadai negara-negara termasuk Myanmar dan sedang berhubung rapat dengan pihak-pihak berkaitan untuk mendapat maklumat mengenai kehilangan nyawa dan kerugian harta benda," katanya.
Siklon Mocha yang mendarat dan melintasi wilayah Myanmar pada Ahad telah menyebabkan bencana serius di banyak tempat.
Setakat ini, seramai lima orang dilaporkan maut di Myanmar, hampir seribu rumah penduduk tempatan, lebih 60 sekolah dan 10 hospital serta pusat klinik musnah akibat bencana itu.
Buat masa ini, operasi mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan di kawasan bencana.
-- BERNAMA