China sambung semula penstriman kandungan Korea Selatan selepas digantung enam tahun
Astro Awani
November 22, 2022 04:50 MYT
November 22, 2022 04:50 MYT
SEOUL: Platform penstriman China telah mengambil langkah menyambung semula pengedaran kandungan Korea Selatan selepas menggantungnya selama hampir enam tahun.
Langkah itu disambut baik oleh Seoul dan menyifatkan ia simbol kesediaan Beijing untuk memperbaiki hubungan.
Platform penstriman China, Tencent mula mengedarkan filem oleh pengarah Korea Selatan Hong Sang-soo, "Hotel by the River," awal bulan ini, dalam langkah pertama selepas Beijing mengharamkan import produk K-pop susulan ketegangan mengenai sistem pertahanan peluru berpandu THAAD A.S. ditempatkan di Korea Selatan.
Seorang pegawai presiden Korea Selatan mengaitkan perkembangan itu dengan pertemuan antara Presiden Korea Selatan Yoon Suk-yeol dan Presiden China Xi Jinping, baru-baru ini.
Yoon dan Xi mengadakan perbincangan secara bersemuka pertama mereka di Bali minggu lalu, di mana kedua-dua pihak bersetuju untuk meningkatkan kerjasama. Ia pertemuan pertama antara pemimpin kedua-dua negara sejak 2019.
Kim Eun-hye, setiausaha akhbar Yoon, berkata presiden Korea Selatan telah menekankan keperluan untuk mempromosikan pertukaran budaya pada mesyuarat itu, dan perkembangan terbaharu ini mungkin "tindak balas" dari Beijing.
Hubungan antara Korea Selatan dan China renggang sejak beberapa tahun kebelakangan ini berikutan pemasangan sistem THAAD di Korea Selatan pada 2017 untuk mengatasi ancaman peluru berpandu Korea Utara.
China menegaskan radarTHAAD boleh mengintip ke ruang udaranya, dan bertindak memutuskan hubungan perdagangan dan import kebudayaan dengan Korea Selatan.