China sahkan situasi COVID-19 semakin reda, berada pada 'tahap rendah'
Astro Awani
Januari 31, 2023 09:30 MYT
Januari 31, 2023 09:30 MYT
BEIJING: China mengesahkan situasi COVID-19 di negara itu berada pada "tahap rendah" dan lawatan ke klinik akibat jangkitan koronavirus semasa tahun baru menurun kira-kira 40 peratus berbanding sebelum musim cuti.
Jurucakap Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China, Mi Feng berkata, keadaan wabak di seluruh negara telah memasuki tahap rendah dan situasi wabak di pelbagai tempat kekal stabil dalam trend menurun.
Perjalanan dalam negara serta keluar masuk China semasa musim cuti meningkat mendadak apabila berjuta-juta orang menggunakan peluang selepas negara itu secara tiba-tiba memansuhkan 'Dasar Sifar COVID' pada awal Disember.
Minggu lalu, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) China berkata, tiada peningkatan ketara dalam kes semasa cuti perayaan manakala jumlah kes jangkitan teruk dan kematian akibat COVID-19 menurun serta tiada strain mutasi baharu dikenal pasti.
CDC China juga berkata, minggu lalu kes COVID-19 yang kritikal di negara itu turun 72 peratus berbanding kemuncak pada awal bulan ini, manakala kematian harian dalam kalangan pesakit COVID-19 di hospital menurun 79 peratus berbanding pada kemuncaknya.