China, Rusia komited dorong pembinaan multipolarisasi sama rata dan teratur
Bernama
Februari 21, 2025 17:53 MYT
Februari 21, 2025 17:53 MYT
Kedua-dua negara juga perlu menjaga hak dan kepentingan negara Selatan Global dan menyokong globalisasi ekonomi yang inklusif. - Gambar fail
JOHANNESBURG: Bersempena ulang tahun ke-80 kemenangan Perang Anti-Fasis Dunia dan penubuhan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tahun ini, China dan Rusia disaran memanfaatkan tahun bermakna itu untuk memperkasakan koordinasi strategik, mempertahankan pendirian yang betul membabitkan Perang Dunia Kedua dan memelihara sistem antarabangsa berteraskan PBB.
Kedua-dua negara juga perlu menjaga hak dan kepentingan negara Selatan Global dan menyokong multipolarisasi yang sama rata dan teratur serta globalisasi ekonomi yang inklusif dan memanfaatkan semua pihak.
Perkara itu dinyatakan Menteri Luar China Wang Yi ketika mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Rusia Sergei Lavrov, sempena Mesyuarat Menteri Luar G20 di Johannesburg, Afrika Selatan pada Khamis.
Lavrov pula menyatakan bahawa pihaknya bersetuju dengan Inisiatif Global yang disyorkan China, dan bersedia untuk terus memperkukuh komunikasi dan penyelarasan dengan China di bawah rangka mekanisme BRICS, Pertubuhan Kerjasama Shanghai, PBB dan G20.
Selain itu, Lavrov berkongsi perkembangan terkini krisis Ukraine dan pandangan pihak Rusia. Beliau berkata Rusia komited untuk mencari penyelesaian damai secara adil dan mampan yang berlandaskan Piagam PBB.
Wang turut menegaskan pendirian konsisten China dalam isu Ukraine, dan menegaskan bahawa negara Tembok Besar itu akan terus memainkan peranan membina untuk membantu rundingan damai dan penyelesaian politik krisis berkenaan.
-- BERNAMA