China pertimbang kenakan tarif ke atas produk pertanian, makanan AS sebagai tindak balas - Laporan

Bernama
Mac 3, 2025 18:14 MYT
Pada Jumaat, Kementerian Perdagangan China menegaskan bahawa negara itu akan mengambil semua langkah yang diperlukan bagi melindungi hak dan kepentingan sahnya berikutan kenaikan tarif yang dirancang Washington. - Gambar hiasan/ Adobe Stock
BEIJING: China sedang mempertimbangkan untuk mengenakan tarif tambahan ke atas produk pertanian dan makanan dari Amerika Syarikat (AS) sebagai tindak balas terhadap rancangan Washington menaikkan tarif ke atas barangan China, lapor Sputnik/RIA Novosti memetik akhbar "Global Times" pada Isnin.
Pada Khamis, Presiden AS Donald Trump mengumumkan bahawa AS akan melaksanakan tarif yang dicadangkan terhadap Kanada dan Mexico pada 4 Mac seperti yang dirancang, termasuk tambahan 10 peratus ke atas China pada hari yang sama.
Beijing secara aktif menilai tindak balas untuk menangani ancaman tarif Washington, sambil menambah bahawa langkah itu mungkin termasuk tarif serta langkah lain, dengan produk pertanian dan makanan AS dijangka termasuk dalam senarai, menurut sumber.
Pada Jumaat, Kementerian Perdagangan China menegaskan bahawa negara itu akan mengambil semua langkah yang diperlukan bagi melindungi hak dan kepentingan sahnya berikutan kenaikan tarif yang dirancang Washington.
Kementerian itu turut menggesa AS agar "tidak mengulangi kesilapan lalu" dan kembali kepada rundingan adil sebagai jalan penyelesaian secepat mungkin.
Pada 10 Feb, China mengenakan tarif tambahan, termasuk duti 15 peratus ke atas arang batu dan gas asli cecair (LNG) dari AS serta tarif 10 peratus terhadap beberapa produk lain.
-- BERNAMA
#AS #China #perang tarif #Donald Trump
;