China perluas penggunaan 5G

Bernama
Jun 5, 2023 21:31 MYT
Ke Ruiwen, berkata China akan mempercepat pembangunan prasarana maklumat digital yang berperanan sebagai 'denyutan nadi' bagi pembangunan sosioekonomi. - Gambar fail/Reuters
BEIJING: China akan mempercepat pembangunan rangkaian persendirian maya (VPN) industri 5G, di samping memperkaya dan memperluas penggunaan 5G, kata Menteri Industri dan Maklumat, Jin Zhuanglong, pada majlis perasmian Ekspo Telekomunikasi Antarabangsa China Ke-31 dan Forum Peringkat Kanan China ICT di sini, pada Ahad.
Menurutnya, seiring dengan integrasi mendalam antara ekonomi digital dengan ekonomi realiti, industri telekomunikasi berperanan penting untuk menjadi tunjang terhadap penyusunan stuktur ekonomi dan pembangunan sosioekonomi.
Kata Jin, China akan terus mengoptimumkan penempatan infrastruktur, menambah akses ke jaringan 5G dan jaringan optik gigabit yang berkualiti tinggi, memperdalam penggunaan internet perindustrian, membina lebih banyak kilang 5G, dan mendorong perkembangan penggunaan 5G.
Pada masa sama, China juga akan mempergiat penyelidikan dan pembangunan 6G secara komprehensif.
Pengerusi Lembaga Pengarah China Telecom, Ke Ruiwen, berkata China akan mempercepat pembangunan prasarana maklumat digital yang berperanan sebagai 'denyutan nadi' bagi pembangunan sosioekonomi.
Beliau berkata syarikatnya sedang mempercepat perkembangan pembinaan dan penggunaan 5G, sekali gus meneruskan pembangunan jaringan optik secara menyeluruh, dengan jaringan optik gigabit meliputi lebih 300 buah bandar.
Ekspo Maklumat dan Telekomunikasi Antarabangsa China Ke-31 yang bertemakan "melancarkan denyutan nadi maklumat, mencipta era digital dan pintar yang baharu" telah mempamerkan perkembangan telekomunikasi dan hasil-hasil baharu.
-- BERNAMA
#China #jaringan optik #maklumat digital #5G
;