China perketat kawalan sempadan, cegah kemasukan virus mpox

Bernama
Ogos 17, 2024 18:35 MYT
Pentadbiran Am Kastam negara umum langkah pengawasan yang lebih ketat untuk individu dan barangan yang tiba dari kawasan terjejas oleh mpox. - Reuters
ANKARA: China memperketatkan kawalan sempadannya untuk mencegah virus mpox daripada memasuki negara itu, lapor media kerajaan pada Sabtu.
Pentadbiran Am Kastam negara mengumumkan langkah pengawasan yang lebih ketat untuk individu dan barangan yang tiba dari kawasan terjejas oleh mpox, menurut laporan CGTN yang dipetik Agensi Anadolu.
Semua pelawat yang mengalami simptom seperti demam, sakit kepala, sakit otot, atau ruam diwajibkan melaporkan keadaan mereka semasa memasuki negara itu.
Langkah-langkah ini akan berkuat kuasa selama enam bulan.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mpox menyebabkan ruam dan simptom seperti selesema.
WHO pada Rabu mengisytiharkan mpox sebagai kecemasan kesihatan awam yang menjadi kebimbangan antarabangsa.
Menurut pakar kesihatan, seseorang yang dijangkiti mpox akan mengalami simptom dalam tempoh dua hingga 19 hari selepas terdedah kepada virus itu.
Dahulunya dikenali sebagai cacar monyet, mpox boleh merebak melalui sentuhan rapat serta melalui bahan tercemar seperti cadar, pakaian, dan jarum, menurut WHO.
-- BERNAMA
#mpox #China #Kawalan sempadan #kesihatan
;