China perkasa pembangunan kenderaan tenaga alternatif

Bernama
September 5, 2021 04:24 MYT
Guobin berkata industri kenderaan China berprestasi baik daripada segi penghasilan dan pengeksportan kenderaan meningkat stabil. - Foto BERNAMA
TIANJIN: Industri kenderaan China berkembang stabil dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, kata Naib Menteri Industri dan Teknologi Maklumat China (MIIT), Xin Guobin.
Beliau berkata demikian pada Forum Antarabangsa Pembangunan Industri Kenderaan China yang diadakan di bandar Tianjin Sabtu lalu.
"Statistik peringkat awal menunjukkan, jumlah jualan kenderaan melebihi 16 juta pada Januari hingga Ogos lalu, meningkat 10 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
"Jumlah pengeksportan kenderaan lengkap mencatat satu juta pada Januari hingga Julai lalu, meningkat 124 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelum ini," katanya.
Beliau berkata jumlah penghasilan dan jualan kenderaan tenaga alternatif melebihi 1.7 juta, meningkat dua kali ganda berbanding Januari hingga Ogos tahun lalu.
Beliau menambah, industri kenderaan China berprestasi baik daripada segi penghasilan dan pengeksportan kenderaan meningkat stabil.
Di samping itu kenderaan tenaga alternatif dan kenderaan jaringan pintar berkembang pesat, dan teknologi inovatif mencapai kemajuan baharu, misalnya, teknologi mengecaj bateri yang menyuntik tenaga baharu bagi industri tersebut.
"Matlamat dikemukakan China untuk mencapai puncak pelepasan karbon dioksida dan status neutral karbon menggariskan hala tuju perkembangan industri kenderaan.
"Kerjasama rantaian industri berkenaan, usaha menggalakkan industri, produk, pengangkutan dan sumber tenaga dengan pelepasan karbon rendah diperlukan untuk mencapai matlamat tersebut," katanya.
-- BERNAMA
#China #kenderaan #industri automotif #teknologi #eksport
;