China penyumbang utama peningkatan ekonomi dunia bagi tempoh 1979-2023
Bernama
Oktober 2, 2024 21:30 MYT
Oktober 2, 2024 21:30 MYT
BEIJING: Laporan terkini Biro Statistik Kebangsaan (NBS) mengenai pencapaian pembangunan sosioekonomi dalam tempoh 75 tahun sejak penubuhan Republik Rakyat China (RRC) mendedahkan bahawa kadar pertumbuhan ekonomi China mencecah 8.9 peratus secara purata bagi tempoh dari 1979 hingga 2023.
Pencapaian itu jauh lebih tinggi daripada kadar purata pertumbuhan ekonomi dunia yang hanya mencatat tiga peratus bagi tempoh yang sama.
Selain itu, kadar sumbangan China bagi peningkatan ekonomi dunia pula menduduki tempat pertama dalam ranking global, dengan menokok 24.8 peratus setiap tahun.
Pada awal penubuhannya, RRC mengalami kesukaran akibat asas ekonomi yang lemah. Pada 1952, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) China hanya mencapai US$30 bilion (RM125 bilion) sebelum melonjak ke US$149.5 bilion (RM623 bilion) pada 1978, mewakili 1.7 peratus ekonomi dunia.
Sejak dasar pembaharuan dan pintu terbuka dilaksanakan, ekonomi China terus berkembang sehingga kapasitinya mencatat US$17.8 trilion (RM74.2 trilion) pada 2023. Nisbah ekonomi China dalam ekonomi dunia juga meningkat hingga 16.9 peratus, menduduki tempat kedua dalam ranking global.
Sementara itu, permohonan paten dari China telah mencatat 1.619 juta item sehingga penghujung 2022, dan jumlah permohonan paten antarabangsa PCT China pula menduduki tempat pertama di peringkat global selama empat tahun berturut-turut.
Dalam sektor ekonomi dan perdagangan luar, import dan eksport perdagangan kargo China bernilai US$1.1 bilion (RM4.6 bilion) pada 1950, dan hanya menduduki 0.9 peratus keseluruhan dunia. Namun, selepas dasar pembaharuan dan pintu terbuka dilaksanakan, China turut menyaksikan perkembangan pesat dalam perdagangan kargo antarabangsa.
Import dan eksport perdagangan kargo China telah meningkat di kedudukan kesembilan dalam ranking dunia dengan mencapai US$360.6 bilion (RM1.5 trilion) pada 1999, dan seterusnya melonjak ke tempat kedua dalam ranking itu dengan mencatat US$2.2 trilion (RM9.2 trilion) pada 2009.
Pada tahun lepas, import dan eksport perdagangan kargo China bernilai US$5.9 trilion (RM24.6 trilion), merangkumi 12.4 peratus perdagangan dunia, sekali gus menjadikan negara ini kekal di tempat pertama dalam ranking global untuk tujuh tahun berturut-turut.
-- BERNAMA