China 'penstabil' dan 'penggerak' pemulihan ekonomi dunia
Bernama
Januari 11, 2023 16:10 MYT
Januari 11, 2023 16:10 MYT
BEIJING: Dasar pembendungan wabak di China terbukti berjaya menjaga keselamatan nyawa dan kesihatan rakyat di samping mengurangkan pengaruh negatif terhadap pembangunan sosioekonomi pada tahap maksimum.
Kadar pertumbuhan ekonomi China direkodkan sebanyak 4.5 peratus secara purata dalam tiga tahun lalu, lebih tinggi berbanding taraf purata antarabangsa, kata jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin dalam sidang media yang diadakan pada Selasa.
Mutakhir ini, terdapat liputan media Barat yang mendakwa penularan wabak di China akan menjejaskan kestabilan rantaian bekalan antarabangsa sekali gus memberi tempias kepada pemulihan ekonomi dunia.
Wang menyifatkan laporan berkenaan mempunyai motif tersembunyi selain bertentangan dengan fakta.
Pada masa ini, ekonomi dunia menghadapi risiko kemelesetan dan momentum perdagangan global menjadi lemah.
Dalam konteks ini, menurut Wang, China giat meningkatkan tahap pembukaan, menyediakan produk dan perkhidmatan bermutu tinggi kepada dunia, memainkan peranan sebagai 'penstabil' dalam rantaian perindustrian dan bekalan global.
"Pada tahun 2021, nilai perdagangan luar China berjumlah US$6.9 trilion, kekal di tangga teratas di dunia.
"Dari Januari hingga November lalu, perdagangan luar kargo di China meningkat 8.6 peratus, antaranya pengeksportan meningkat 11.9 peratus, penyumbang terbesar kepada kemampanan ekonomi dan perkembangan perdagangan global," jelas Wang.
Kata Wang, selepas kerajaan China mengoptimumkan polisi pembendungan COVID-19 baru-baru ini, pemimpin organisasi antarabangsa termasuk Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) memandang positif terhadap prospek ekonomi China selain berpendapat ia menjadi peranan tonggak dan memberikan nafas baru kepada pembangunan ekonomi dunia.
"Baru-baru ini, pelbagai agensi pelaburan antarabangsa menaikkan unjuran terhadap kelajuan pertumbuhan ekonomi China pada tahun 2023.
"Pelbagai pertubuhan perdagangan asing di China juga menganggap langkah-langkah berkaitan akan merangsang semula keyakinan pelabur sekali gus menjadikan China kekal sebagai destinasi pelaburan utama," katanya.
Kini, katanya, penularan wabak di China kian reda dengan banyak provinsi dan bandar sudah melepasi puncak penularan manakala aktiviti ekonomi turut pulih secara pesat.
"Seiring dengan pemulihan permintaan masyarakat dan pengaruh dasar terbaharu, peranan China sebagai 'penstabil' dan 'penggerak' pemulihan ekonomi dunia akan turut terserlah," kata Wang. - BERNAMA