China paling ramai warga emas di dunia, Qatar terendah
Astro Awani
Mac 16, 2025 10:45 MYT
Mac 16, 2025 10:45 MYT
Qatar mempunyai nisbah penduduk warga emas terendah pada kadar 1.7 peratus. - Gambar hiasan
POPULASI warga emas Turkiye kini seramai 9.1 juta orang dan ia melebihi jumlah penduduk 96 negara, termasuk Switzerland, Denmark, Ireland, New Zealand dan Armenia.
Agensi berita Anadolu Ajansi (AA) melaporkan, jumlah penduduk Turkiye pada 2023 ialah 85.6 juta orang dengan 10.6 peratus daripadanya diklasifikasikan sebagai warga emas.
Angka daripada Institut Statistik Turkiye (TURKSTAT) yang disusun oleh agensi berita tersebut mendedahkan, di peringkat global, warga emas merangkumi 10.2 peratus daripada 8.1 bilion penduduk dunia tahun lepas.
Sementara itu, China mencatatkan jumlah warga emas tertinggi di dunia dengan 208.1 juta orang.
Ini diikuti India (103.7 juta) dan Amerika Syarikat (61.9 juta).
Monaco mempunyai peratusan tertinggi warga emas, merangkumi 36.2 peratus daripada jumlah penduduknya seramai 38,631 orang.
Ini diikuti Jepun (29.8 peratus), Itali (24.6 peratus), Portugal (24.5 peratus) dan Greece (23.9 peratus).
Sementara itu, Qatar pula mempunyai nisbah penduduk warga emas terendah pada kadar 1.7 peratus, diikuti Emiriah Arab Bersatu (1.8 peratus), Zambia (1.9 peratus), Chad dan Sudan (2.1 peratus) serta Republik Afrika Tengah (2.2 peratus).