China, negara-negara Asia perlu terus galak kerjasama ekonomi - PM Singapura
Bernama
Mac 30, 2023 06:30 MYT
Mac 30, 2023 06:30 MYT
SINGAPURA: Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong berkata kerjasama ekonomi dan hubungan yang baik antara China dan negara-negara di rantau Asia perlu terus digalakkan dalam persekitaran dunia yang tidak menentu.
Bercakap pada Forum Boao bagi Persidangan Tahunan Asia 2023 (BFA 2023) yang diadakan di Hainan pada Khamis, Lee berkata China telah menjadi rakan dagang terbesar untuk hampir setiap negara Asia.
"Ia juga telah melancarkan inisiatif serantau dan global, seperti Bank Pelaburan Infrastruktur Asia (AIIB), Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) serta Inisiatif Pembangunan Global (GDI)," katanya.
Lee berkata negara-negara lain menyambut baik hasrat China untuk meningkatkan integrasi ekonomi.
"Selepas Covid, kami menggalakkan pemulihan dalam aliran pelaburan, perdagangan dan pelancongan. Kami berharap untuk mengambil bahagian dalam peluang pertumbuhan baharu dalam ekonomi China yang dinamik," katanya.
Transkrip ucapannya disiarkan di laman web Pejabat Perdana Menteri republik itu.
Lee berkata kerjasama ekonomi antara China dan negara-negara jiran Asia akan menjadi lebih kukuh jika ia disokong oleh hubungan yang baik dan lebih luas, yang membina sikap saling mempercayai dan menggalakkan kestabilan serantau.
Beliau berkata banyak isu dua hala dan serantau perlu diselesaikan dan ia perlu diuruskan dalam semangat muhibah dan kerjasama, secara aman dan mengikut undang-undang antarabangsa, memberi penekanan kepada perspektif dan kepentingan semua negara, besar dan kecil.
"Dari semasa ke semasa, kepentingan negara akan berada di landasan yang berbeza dan isu dua hala akan timbul. Ini tidak dapat dielakkan. Apabila ini berlaku, penting untuk kita melindungi hubungan ekonomi kita daripada kesukaran ini dan terus menjalankan perniagaan antara satu sama lain.
"Kita perlu berusaha untuk bekerjasama secara pragmatik untuk kepentingan rakyat walaupun kita mungkin tidak mencapai persetujuan dalam beberapa isu lain," katanya.
Lee berkata ini akan membolehkan semua negara Asia hidup bersama secara aman antara satu sama lain dan menikmati ruang dan keselamatan untuk melakar laluan mereka sendiri ke arah pembangunan dan kemakmuran.
-- BERNAMA