China nafi larang umat Islam Xinjiang berpuasa

Astro Awani
Julai 4, 2014 16:17 MYT
Duta Besar China di Malaysia, Dr Huang Huikang nafi laporan media kononnya umat Islam di wilayah Xinjiang dilarang daripada berpuasa pada bulan Ramadan. - File PHOTO
Duta Besar China di Malaysia, Dr Huang Huikang menafikan laporan media kononnya umat Islam di wilayah Xinjiang di barat laut republik itu dilarang daripada berpuasa pada bulan Ramadan.
"Saya tidak fikir berita itu benar. Media China mana yang melaporkan berita ini? Ini bukan media China, betul?," katanya seperti dipetik oleh Bernama.
Duta itu bagaimanapun memberi jaminan kementerian berkaitan di China akan memberi penjelasan berhubung perkara itu.
Media antarabangsa pada Rabu melaporkan kerajaan China meneruskan larangan ke atas umat Islam di Xinjiang daripada menunaikan ibadah puasa pada tahun ini sama seperti sebelum ini.
Larangan yang dipercayai dikeluarkan oleh Biro Keselamatan Awam di Beijing itu dihebahkan melalui laman web beberapa agensi kerajaan kepada kakitangan awam, guru dan pelajar.
LIHAT GALERI FOTO MASYARAKAT ISLAM BERPUASA DI CHINA
Jurucakap Kongres Uighur Sedunia, Dilxat Raxit berkata tindakan kerajaan China yang menindas itu akan mencetuskan lebih banyak ketegangan.
"Kami menggesa China agar memastikan kebebasan agama untuk Uighur dan menghentikan sebarang penindasan politik melibatkan bulan Ramadan," katanya.
Raxit turut mendakwa penduduk Islam di Xinjiang diberi makanan percuma sebagai galakan untuk tidak berpuasa manakala pihak berkuasa juga membuat pemeriksaan dari rumah ke rumah untuk memastikan tidak ada yang berpuasa.
Xinjiang, yang juga dikenali sebagai Turkestan Timur, merupakan wilayah autonomi di barat laut China. Ia didiami oleh etnik Uighur beragama Islam yang menuntut kemerdekaan daripada pemerintah di Beijing selain penduduk Islam daripada etnik lain termasuk Kazakh, Kyrgyz, Uzbek, Tatar dan Tajik.
China menuduh etnik Uighur menggerakkan kempen keganasan untuk menuntut kemerdekaan. Dakwaan itu bagaimanapun tidak dapat disahkan dan dilihat oleh kumpulan yang bersimpati dengan Uighur sebagai helah untuk menghalalkan diskriminasi ke atas golongan minoriti itu.
Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming dalam reaksinya menyeru masyarakat bukan Islam di negara ini untuk berpuasa selama sehari sebagai tanda solidariti kepadaumat Islam di Xinjiang, China yang dilarang daripada menunaikan ibadah puasa oleh pemerintah di republik itu.
Beliau juga menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk mendukung kebebasan masyarakat Islam di Xinjiang, China untuk menunaikan rukun agama itu serta kebebasan beragama golongan minoriti di seluruh dunia.
#China #Ramadan #Uighur #Xinjiang
;