China nafi kewujudan pasar haiwan eksotik - Kementerian Luar
Afiq Ariffin
April 24, 2020 12:38 MYT
April 24, 2020 12:38 MYT
Kementerian Luar China membidas kenyataan pegawai Amerika Syarikat (AS), yang mendakwa bahawa republik itu sedang mengubal undang-undang menyeluruh berkaitan kegiatan haram seperti memburu, memperdagang, mengeksport dan memakan haiwan liar.
Jurucakap kementerian itu, Geng Shuang, turut menafikan kewujudan pasar haiwan eksotik di China dan mendakwa yang ada hanya pasar menjual barangan basah iaitu ternakan dan makanan laut seperti daging segar, ayam, burung, ikan dan sayuran.
Beliau berkata demikian bagi menjawab kenyataan dikeluarkan oleh Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo, yang mendakwa China dan beberapa negara lain kini menutup pasar haiwan eksotik masing-masing kerana ia merupakan punca kepada penularan wabak COVID-19.
Jelas Shuang, pasar haiwan eksotik itu lebih banyak ditemui di negara Asia Tenggara yang tidak mengenakan sekatan ke atas pembukaan dan operasi pasar seperti itu.
“China sememangnya telah melakukan larangan ketat ke atas aktiviti seperi memburu, memperdagang, mengeksport dan memakan haiwan liar,” katanya.
Tegas Shuang, kerajaan China sentiasa meletakkan kehidupan serta kesihatan rakyat sebagai keutamaan dan semua jabatan serta pemerintah daerah di China telah memperkukuhkan lagi pengurusan pasar tani dan pasar barangan basah sejak tercetusnya COVID-19.
Katanya, kerajaan China juga menerapkan pemeriksaan ketat dan memastikan bahawa semua langkah pencegahan dan pengawalan penyakit haiwan telah dilaksanakan dengan sebaiknya.
Sebelum ini, AS dalam kenyataannya menggesa China menutup semua pasar barangan basah di negara itu dengan dakwaan ia merupakan punca koronavirus terbabit mula menular ke seluruh dunia.
Malah, kerajaan Australia juga menggesa agar pihak penyiasat sainstifik antarabangsa untuk melakukan penyiasatan berhubung isu itu.
"Apa yang terbaik adalah kita pergi dan menyiasat pasar basah ini, untuk memahami risiko yang ditimbulkannya kepada kesihatan manusia.
"Adalah menjadi tanggungjawab semua negara untuk melakukan kerja-kerja ini secara menyeluruh bagi memahami risiko dan punca penularan," kata Menteri Pertanian Persekutuan Australia, David Littleproud.
#Amerika Syarikat
#AS
#Asia
#China
#COVID-19
#haiwan eksotik
#haram
#kesihatan
#koronavirus
#pasar
#undang-undang