China nafi intip Parlimen Britain, gesa henti sebar maklumat palsu

Bernama
September 11, 2023 18:25 MYT
China berkata, dakwaan terlibat dalam aktiviti pengintipan terhadap Britain adalah tidak berasas sama sekali. - Gambar/ Reuters
BEIJING: China menafikan dakwaan Britain mengenai kemungkinan kes pengintipan di Parlimen London, lapor Agensi Berita Jerman ( dpa ).
"Dakwaan bahawa China terlibat dalam aktiviti pengintipan terhadap Britain adalah tidak berasas sama sekali, dan China dengan tegas menafikannya," kata jurucakap Kementerian Luar Mao Ning di Beijing pada Isnin.
"Kami menggesa Britain agar berhenti menyebarkan maklumat palsu, manipulasi politik dan fitnah berniat jahat terhadap China," katanya.
Terdahulu polis Britain menahan seorang suspek yang disyaki perisik China yang bekerja untuk Perkhidmatan Saintifik Parlimen Britain dan mempunyai akses kepada ahli politik yang berpengaruh.
Akhbar Sunday Times melaporkan seorang lagi lelaki turut ditahan berhubung kes itu. Scotland Yard mengesahkan kedua-dua tangkapan itu.
Menurut akhbar itu, pembantu penyelidik itu adalah seorang lelaki Britain yang pernah tinggal dan bekerja di China. Beliau didakwa telah mempengaruhi dasar Britain ke atas China selama bertahun-tahun.
Perdana Menteri Britain Rishi Sunak dan Perdana Menteri China Li Qiang mengadakan pertemuan di New Delhi, India, pada hujung minggu di luar sidang kemuncak G20.
Menurut Downing Street, Sunak "menyampaikan kebimbangannya tentang campur tangan China dalam demokrasi berparlimen Britain," lapor Persatuan Akhbar Britain pada Ahad.
Beijing mengesahkan pertemuan itu pada Isnin. Kedua-duanya bertukar pandangan di New Delhi, katanya.
"Kami berharap UK akan menghentikan gembar-gembur politik, mendukung semangat saling menghormati dan layanan sama rata, serta mempromosikan perkembangan hubungan China-UK secara membina," kata Mao.
-- BERNAMA
#China #Britain #pengintipan #perisik China
;