China musnahkan enam tan gading
AFP
Januari 7, 2014 08:00 MYT
Januari 7, 2014 08:00 MYT
China memusnahkan timbunan gading yang dilaporkan seberat lebih enam tan pada hari Isnin, dalam satu peristiwa penting yang bertujuan untuk mengikis imej negara berkenaan sebagai hab global untuk perdagangan haram gading gajah Afrika.
Pekerja bertopeng memasukkan gading ke dalam mesin pemusnah yang dilakukan dihadapan orang awam buat pertama kali di negara itu.
Acara di bandar selatan Dongguan adalah "usaha terbaru di negara ini untuk menggalakkan pengharaman perdagangan gading, melindungi hidupan liar dan meningkatkan kesedaran orang ramai," agensi berita rasmi Xinhua berkata.
Operasi itu juga disiarkan secara langsung oleh penyiar kerajaan CCTV.
Permintaan gading yang meningkat di Asia menyebabkan angka kematian gajah Afrika yang tinggi dan pihak berkuasa gagal untuk mengekang rangkaian penyeludupan antarabangsa.
Timbinan gading seberat 6.1 tan itu merupakan hasil rampasan dalam tempoh beberapa tahun.
"Dengan langkah seperti ini, kami dapat menyelamatkan gajah-gajah ini dari pupus," kata pengasas 'Save the Elephants' Douglas-Hamilton.
Menurut laporan Radio Nasional China, serbuk gading yang dihancurkan ini akan dipamerkan di muzium, manakala selebihnya akan dipelihara.
Serbuk ini juga boleh digunakan dalam perubatan tradisional Cina.
Beberapa negara yang lain telahpun melakukan perkara seperti ini sebelum ini.
Amerika Syarikat telah menghancurkan enam tan gading pada bulan November manakala kerajaan Filipina memusnahkan lima tan gading pada bulan Jun.
Kenya pula telah membakar timbunan gading seberat lima tan pada tahun 2011.