China mulakan rondaan di Selat Taiwan menjelang pertemuan McCarthy, Tsai

Bernama
April 5, 2023 16:45 MYT
Delegasi Taiwan yang diketuai Tsai berlepas untuk lawatan 10 hari ke dua negara di Amerika Tengah pada 28 Mac lepas dan tiba di Guatemala selepas transit di New York selain melawat Belize pada 3 April. - Gambar hiasan/Unsplash
BEIJING: China memulakan rondaan tentera di dua kawasan di Selat Taiwan menjelang pertemuan Speaker Dewan Amerika Syarikat (AS) Kevin McCarthy dan Presiden Taiwan Tsai Ing-wen di Los Angeles, menurut Pentadbiran Keselamatan Maritim China di wilayah Fujian pada Rabu.
Delegasi Taiwan yang diketuai Tsai berlepas untuk lawatan 10 hari ke dua negara di Amerika Tengah pada 28 Mac lepas dan tiba di Guatemala selepas transit di New York selain melawat Belize pada 3 April.
Pada Rabu, pemimpin Taiwan itu singgah di Los Angeles dalam perjalanan pulang dengan media AS melaporkan Tsai akan mengadakan pertemuan dengan McCarthy semasa berada di California.
"Operasi rondaan dan pemeriksaan khas bersama bermula hari ini di bahagian tengah dan utara Selat Taiwan," kata pentadbiran keselamatan di media sosial China WeChat, lapor Sputnik.
Susulan itu, Beijing tegas membantah pertemuan itu kerana ia bercanggah dengan prinsip satu China dan menjejaskan kedaulatan negara, kata jurucakap Kementerian Luar China Mao Ning pada Selasa
Keadaan di sekitar Taiwan semakin memuncak selepas bekas Speaker Dewan AS Nancy Pelosi berkunjung ke pulau itu pada Ogos 2022. Beijing mengecam perjalanan Pelosi yang dianggapnya sebagai isyarat sokongan terhadap pemisahan dan melancarkan latihan ketenteraan berskala besar di sekitar pulau itu.
Walaupun dibantah keras oleh China, lawatan Pelosi mencetuskan gelombang lawatan ahli politik Barat ke Taiwan.
Taiwan ditadbir secara bebas dari tanah besar China sejak 1949. Beijing menganggap pulau itu sebagai wilayahnya manakala Taiwan - wilayah dengan kerajaan pilihannya sendiri - mengekalkan bahawa ia adalah sebuah negara autonomi tetapi belum mengisytiharkan kemerdekaan.
Beijing menentang sebarang hubungan rasmi negara asing dengan Taipei dan menganggap kedaulatan China ke atas pulau itu tidak boleh dipertikaikan.
-- BERNAMA
#rondaan tentera #Selat Taiwan #Kevin McCarthy #Tsai Ing-Wen #China
;