China memperlihatkan sut misi ke permukaan bulan
Amanz
September 30, 2024 10:10 MYT
September 30, 2024 10:10 MYT
CHINA ingin menghantar dua taikonaut ke permukaan bulan menjelang 2030. Ini dilihat sebagai usaha menunjukkan kemajuan teknologi aeroangkasa China selepas mereka menjadi negara pertama berjaya mendaratkan proba angkasa ke permukaan sisi jauh bulan. Misi ke bulan masih lagi jauh di hadapan tetapi minggu lalu China memperlihatkan rekaan sut yang akan digunakan angkasawan ke permukaan bulan.
Dari segi rekaan ia mirip rekaan sut angkasawan misi Apollo NASA dari dekad 60an. Sut direka untuk melindungi angkasawan daripada radiasi serta suhu ekstrem permukaan bulan yang mencecah 120 °C pada waktu siang sebelum menjunam ke -130 °C. Pada waktu yang sama ia masih perlu cukup fleksibel bagi membolehkan angkasawan melakukan misi tanpa sebarang halangan pergerakan. Dengan sut sudah diperlihatkan, Agensi Angkasa Kebangsaan China (CNSA) menganjurkan pertandingan menamakannya yang terbuka kepada orang awam.
Seperti Misi Apollo, misi China kelak akan membawa tiga angkasawan menggunakan kapal angkasa Mengzhou. Setibanya di bulan, kapsul pendaratan Lanyue akan dipisahkan daripada daripada Megzhou bagi membawa dua angkasawan ke permukaan bulan. Selepas melakukan misi selama beberapa jam, dua angkasawan akan kembali semula ke bumi.
Selain China, Amerika Syarikat, Rusia, India dan Jepun juga ingin menghantar manusia ke permukaan bukan. Misi Artemis oleh NASA kini tertangguh kerana kelewatan Starship. Perlumbaan untuk kembali ke bulan berlaku kerana semua kuasa besar dunia ingin membina koloni yang kemudiannya digunakan untuk melancarkan misi ke Marikh dan meneroka ke seluruh sistem suria terdekat.