China mahukan persaingan sihat, tolak peperangan - Presiden Brazil

Bernama
April 24, 2023 04:30 MYT
Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva, menyifatkan China sebagai ekonomi penting bagi dunia yang sudah tentu memerlukan persaingan yang sihat dalam ekonomi, sains dan teknologi. - Foto fail/REUTERS
BEIJING: Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva, menyifatkan China sebagai ekonomi penting bagi dunia yang sudah tentu memerlukan persaingan yang sihat dalam ekonomi, sains dan teknologi.
Beliau berkata demikian ketika diwawancara Kumpulan Media China (CMG) baru-baru ini sempena berakhirnya lawatan selama lima hari ke China.
Menurut Lula, pada lima dekad yang lalu tiada pihak yang sama sekali menyangka bahawa China boleh muncul menjadi negara gergasi ekonomi menjelang tahun 2023.
"Kekuatan gergasi China dalam hampir semua bidang ekonomi termasuk sains dan teknologi, pengeluaran dan kejuruteraan adalah penting untuk dunia yang memerlukan suara dari bukan sebuah negara sahaja.
"Di pentas antarabangsa, China tidak menghasut peperangan, tetapi membincangkan bersama-sama pembangunan, menumpukan pada pelaburan dan pendidikan, melatih jurutera, ahli biologi, doktor dan sumber manusia dalam penerbangan angkasa lepas.
"Persaingan China dengan negara peneraju dalam bidang tersebut kondusif bagi dunia," kata Lula yang turut gembira melihat pelaburan China ke Afrika dan Amerika Latin.
Beliau berkata pada sesi pertama Mesyuarat Kumpulan 20 di Amerika Syarikat pada tahun 2008, para peserta mesyuarat telah membincangkan mengenai perlunya pelaburan dari negara maju supaya negara mundur mendapat pembiayaan, mewujudkan pertumbuhan ekonomi, mengembang industri sederhana dan kecil, menambah baik pertanian dan mengurangkan kebergantungan pada negara maju.
Bagaimanapun, katanya tiada negara yang merealisasikan tujuan berkenaan selain China.
Justeru, beliau berharap agar negara lain tidak mempunyai mencemburui kejayaan China sebaliknya, menjadikan negara ini sebagai contoh.
"Bagi saya, China bertindak sebagai pihak yang mengimbangi dalam persaingan ekonomi global dan pembangunan sains dan teknologi yang amat penting bagi dunia," kata Lula.
-- BERNAMA
#Presiden Brazil #Luiz Inacio Lula da Silva #China #ekonomi penting
;