China mahu tingkatkan kerjasama dengan Asia Selatan

Bernama
Ogos 17, 2023 05:00 MYT
Wang Yi mencadangkan empat saranan bagi memperdalam kerjasama, termasuk memperdalam kesalingpercayaan strategik, meningkatkan kesalinghubungan, mempergiat kerjasama ekonomi dan perdagangan. - Gambar fail/REUTERS
KUNMING: Ahli Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China, Wang Yi berkata negara-negara di Asia Selatan dialu-alukan untuk terus berkongsi pembangunan pesat China dan memperoleh limpahan manfaat daripada pembangunan negara ini.
Menurutnya, China berhasrat untuk bekerjasama dengan negara-negara di Asia Selatan, meningkatkan kerjasama, memupuk tenaga pembangunan baharu, membina komuniti pembangunan bersama, demi menyumbang kepada keamanan berkekalan, kestabilan dan kemakmuran di rantau ini.
Wang berkata demikian ketika berucap pada upacara perasmian Ekspo China-Asia Selatan kali ketujuh di sini, pada Rabu.
Beliau turut mencadangkan empat saranan bagi memperdalam kerjasama.
Antaranya memperdalam kesalingpercayaan strategik, meningkatkan kesalinghubungan, mempergiat kerjasama ekonomi dan perdagangan, serta merapatkan pertukaran dalam kalangan rakyat.
Untuk rekod, 2023 menandakan ulang tahun ke-10 Ekspo China-Asia Selatan dan juga ulang tahun ke-10 Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) anjuran Presiden China Xi Jinping serta konsep diplomasi jiran berpandukan persahabatan, keikhlasan, situasi sama menang dan keinklusifan.
"Dalam 10 tahun ini, kita mengukuhkan kerjasama, bersama-sama mempertahankan keamanan dan persekitaran pembangunan serantau.
"Kita terus bangunkan BRI, dengan kemajuan yang menggalakkan dalam bidang saling berhubung, pembinaan infrastruktur, perdagangan dan pelaburan," kata Wang.
Turut hadir pada upacara itu Perdana Menteri Sri Lanka Dinesh Gunawardana, Timbalan Presiden Laos Pany Yathotu, Timbalan Presiden Nepal Upendra Yadav dan Timbalan Perdana Menteri Vietnam Tran Luu Quang.
Bagi para peserta, mereka bersetuju bahawa negara-negara di Asia Selatan menyertai pembinaan BRI berkualiti tinggi bersama China secara aktif dan telah mencapai hasil yang memuaskan.
Mereka turut berpendapat bahawa ekspo anjuran China itu memenuhi keperluan pembangunan setiap negara terlibat dan menjadi platform kerjasama yang cekap.
-- BERNAMA
#China #kerjasama #Asia Selatan #wang yi
;