China mahu tingkatkan import minyak sawit dari Indonesia
Bernama
Julai 26, 2022 05:30 MYT
Julai 26, 2022 05:30 MYT
JAKARTA: China menyatakan komitmen untuk meningkatkan import sebanyak satu juta tan metrik minyak sawit mentah dari Indonesia, kata Presiden Joko Widodo.
Semasa pertemuannya dengan Perdana Menteri China Li Keqiang di Beijing, beliau berkata China juga mahu mengutamakan import produk pertanian dari negara itu.
Dalam satu kenyataan, Joko Widodo berkata beliau berharap nilai perdagangan antara kedua-dua negara yang sudah melebihi AS$100 bilion akan terus meningkat.
Kedua-dua pemimpin turut membincangkan kerjasama dalam pembangunan Taman Perindustrian Hijau di Kalimantan Utara.
Sementara itu, dalam satu kenyataan akhbar bersama selepas mesyuarat dua hala itu pada Selasa, para pemimpin berkata hubungan China-Indonesia mempunyai kepentingan strategik yang besar dan pengaruh global yang meluas.
Mereka sepakat untuk komited membentuk model negara sedang membangun utama yang mempunyai kepentingan bersama, keputusan yang saling menguntungkan, pembangunan bersama dan kerjasama Selatan-Selatan.
Mereka akan terus mengukuhkan multilateralisme dan menyokong Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik atau APEC dalam mencapai Wawasan Putrajaya 2040 iaitu komuniti Asia-Pasifik yang terbuka, dinamik, berdaya tahan dan aman.
Lawatan Joko Widodo ke Beijing adalah lawatan pertama pemimpin dunia ke negara itu selepas penganjuran Sukan Olimpik Musim Sejuk di Beijing pada awal 2022.
-- BERNAMA