China lepaskan 200,000 ikan jarang ditemukan di Sungai Yangtze

Bernama
Mac 26, 2023 13:00 MYT
Kumpulan pertama 100,000 ikan telah dilepaskan di bandar Yichang di Provinsi Hubei pada Sabtu dan dua kelompok lagi akan menyusul. - Foto China Three Gorges Corporation
WUHAN: China akan melepaskan 200,000 sturgeon China ke Sungai Yangtze, sungai terpanjang di negara itu mulai Sabtu sebagai sebahagian daripada usahanya untuk melindungi ikan yang jarang ditemui itu.
Sturgeon ialah ikan besar daripada famili Acipenseridae yang telurnya dijadikan kaviar.
Kumpulan pertama 100,000 ikan telah dilepaskan di bandar Yichang di Provinsi Hubei pada Sabtu dan dua kelompok lagi akan menyusul, menurut China Three Gorges Corporation yang telah membuat pelepasan seperti itu setiap tahun sejak 1984, lapor Xinhua.
Sturgeon China yang wujud sejak 140 juta tahun, adalah antara spesies vertebrata paling purba di bumi dan berada di bawah perlindungan Kelas-A di China. Ikan yang dilindungi itu dibiak dan dibebaskan ke persekitaran semula jadi.
Sturgeon yang dilepaskan tahun ini berusia antara enam bulan hingga 14 tahun bagi memulihkan populasi liar, kata ketua jurutera pusat penyelidikan syarikat bagi spesies berkenaan, Jiang Wei.
Sebelum dilepaskan, sturgeon yang lebih besar yang menghampiri kematangan seksual dipasang pengesan satelit untuk analisis kesan alam sekitar terhadap kemandirian spesies di alam liar untuk menyediakan sistem perlindungan pada masa depan.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, China berusaha keras memulihkan ekologi di sepanjang Sungai Yangtze dengan melarang aktiviti memancing selama 10 tahun di perairan penting di sepanjang sungai pada awal tahun 2021.
Pada Disember 2020, China mengisytiharkan Undang-undang Perlindungan Sungai Yangtze yang menjamin pemuliharaan biodiversiti di sungai.
-- BERNAMA
#Sungai Yangtze #ikan sturgeon #kaviar #Yichang
;