China larang rakyatnya lawat utara Myanmar yang dilanda konflik
Bernama
November 9, 2023 06:30 MYT
November 9, 2023 06:30 MYT
ISTANBUL: China pada Khamis melarang rakyatnya daripada mengunjungi utara Myanmar yang dilanda konflik.
Kementerian Luar menggesa "rakyat China supaya tidak pergi ke utara Myanmar buat masa ini memandangkan konflik bersenjata yang tercetus di beberapa bahagian di wilayah itu," lapor Agensi Anadolu memetik akhbar Global Times yang berpangkalan di Beijing.
"Rakyat China yang sudah berada di kawasan konflik perlu berwaspada terhadap keadaan sekeliling dan berpindah segera ke tempat selamat atau kembali ke negara asal untuk keselamatan mereka," katanya.
Pertempuran semakin sengit di negeri Shan di utara, berhampiran sempadan China, sejak kebelakangan ini.
Tentera Perikatan Demokratik Kebangsaan Myanmar, Tentera Pembebasan Kebangsaan Ta'ang, dan Tentera Arakan telah menguasai banyak pos luar dan empat bandar, dan menyekat laluan perdagangan kritikal ke China.
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu juga menyatakan kebimbangannya terhadap pertempuran di negeri Shan, dengan memetik laporan mengenai tembakan artileri dan serangan udara yang mengakibatkan korban awam dan berpuluh-puluh ribu orang kehilangan tempat tinggal manakala beratus-ratus lagi melintasi sempadan, lapor Agensi Anadolu.
-- BERNAMA