China lapor kes baharu H7N9

Bernama
Januari 11, 2014 08:25 MYT
Wilayah Fujian di tenggara China melaporkan kes pertama H7N9 membabitkan manusia pada Jumaat selepas seorang lelaki berusia 38 tahun meninggal dunia akibat jangkitan itu.
Menurut Suruhanjaya Kesihatan dan Perancang Keluarga wilayah itu, lelaki dengan nama keluarga Zeng dari daerah Hui’an, bandar raya Quanzhou, disahkan dijangkiti selesema burung H7N9 pada awal hari Jumaat.
Lelaki itu meninggal dunia pada pagi hari yang sama selepas dimasukkan ke hospital pada Rabu lalu, lapor agensi berita Xinhua.
Sementara itu, kes baharu H7N9 membabitkan manusia dilapor pada Khamis di wilayah Zhejiang di timur China, membabitkan seorang wanita berusia 51 tahun yang disahkan dijangkiti virus berkenaan pada Rabu.
Xinhua melaporkan wanita itu kini berada dalam keadaan kritikal di hospital tempatan.
Kira-kira 150 orang di China dijangkiti virus itu sejak wabak tercetus pada Mac 2013.
#China #H7N9 #Kes Pertama
;