China, Laos, Myanmar, Thailand sepakat tingkat kerjasama banteras jenayah rentas sempadan

Bernama
Ogos 17, 2024 17:40 MYT
Menteri Luar China, Wang Yi menekankan bahawa keselamatan adalah asas penting bagi pembangunan sesebuah negara. - AP
BANGKOK: China, Laos, Myanmar dan Thailand pada Jumaat mengadakan perbincangan mengenai jenayah rentas sempadan dalam satu pertemuan tidak rasmi antara Menteri Luar negara-negara terbabit di Chiang Mai, Thailand.
Menteri Luar China, Wang Yi menekankan bahawa keselamatan adalah asas penting bagi pembangunan sesebuah negara.
Beliau berkata, situasi keselamatan di rantau ini sedang menghadapi perubahan yang kompleks, dengan jenayah rentas sempadan seperti perjudian dalam talian dan penipuan telekomunikasi terus berlaku, mengancam keselamatan rakyat serta kestabilan sosial dan imej negara, lapor Xinhua.
Wang berpendapat, usaha bersama antara negara-negara di rantau ini dalam membanteras kesalahan mampu mengurangkan kadar jenayah dengan berkesan.
Beliau juga berkata Inisiatif Keselamatan Global yang dicadangkan oleh China mendapat sambutan positif dari negara-negara seperti Laos, Myanmar dan Thailand.
Berdasarkan prinsip saling menghormati kedaulatan, keempat-empat negara ini menjalankan pelbagai operasi bersama untuk membanteras jenayah rentas sempadan, dengan lebih 50,000 orang yang terlibat dalam perjudian dan penipuan ditahan sejak tahun lalu, kata Wang.
China komited untuk terus bekerjasama dengan negara-negara lain dalam memerangi jenayah rentas sempadan dan memastikan keamanan di wilayah mereka, dengan menjadikan Inisiatif Keselamatan Global sebagai panduan utama.
Wang menyeru agar kawalan sempadan diperketatkan, dengan mengawasi sempadan setiap negara dan mengawal pelabuhan-pelabuhan penting serta menutup laluan-laluan haram yang digunakan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab.
Beliau juga menggesa agar pertukaran maklumat dan risikan antara negara-negara ini dipermudah, dan operasi bersama terus dilaksanakan untuk menghantar pulang penjenayah rentas sempadan dengan kadar segera agar mereka dapat dihadapkan ke muka pengadilan.
Keempat-empat negara sepakat untuk memperkukuh kerjasama dan meningkatkan penyelarasan serta memperhebatkan usaha memerangi jenayah rentas sempadan.
-- BERNAMA
#jenayah rentas sempadan #kerjasama antara negara #China #laos #Myanmar #Thailand