China lancar peluru berpandu ke perairan Taiwan
Astro Awani
Ogos 5, 2022 08:20 MYT
Ogos 5, 2022 08:20 MYT
BEIJING: Tentera China didakwa melancarkan beberapa peluru berpandu balistik ke perairan sekitar Taiwan semasa latihan ketenteraan pada Khamis.
Taiwan dalam reaksi balas mengutuk perkembangan terbaharu itu yang disifatkannya sebagai tindakan tidak rasional yang menjejaskan keamanan serantau.
Kementerian Pertahanan negara itu berkata, parti komunis China melancarkan beberapa peluru berpandu balistik siri Dongfeng ke perairan sekitar timur laut dan barat daya Taiwan.
Ia didakwa dilakukan bermula jam 13.56 tengah hari, Khamis.
Tentera Taiwan bagaimanapun tidak mengesahkan lokasi tepat di mana peluru berpandu itu mendarat atau sama ada ia melintasi ruang udara pulau berkenaan atau sebaliknya.
Taiwan juga tidak menyatakan dengan terperinci berapa lama tembakan itu berlarutan.
Dalam pada itu, Tentera Pembebasan Rakyat China juga mengesahkan peluru berpandu telah dilancarkan.
Jurucakap Komando Timur, Kolonel Kanan Shi Yi berkata, tentera China telah melancarkan “serangan peluru berpandu konvensional berbilang wilayah dan pelbagai model ke atas perairan yang telah ditetapkan di luar bahagian timur pulau Taiwan."
Kata Kolonel Shi, semua peluru berpandu itu mengenai sasaran.