China laksanakan protokol ketat mpox di tengah-tengah peningkatan kes global
Bernama
Ogos 18, 2024 04:30 MYT
Ogos 18, 2024 04:30 MYT
BEIJING: Pihak berkuasa China telah menggiatkan usaha untuk mencegah kemasukan virus mpox berikutan peningkatan kes global, lapor Xinhua.
Bermula dari 15 Ogos selama enam bulan, mereka yang tiba di China dari negara dan wilayah yang mempunyai kes mpox yang disahkan mesti mengisytiharkan keadaan mereka kepada kastam jika mereka telah terdedah kepada mpox atau menunjukkan gejala seperti demam, sakit kepala, sakit belakang, sakit otot, bengkak kelenjar limfa, atau ruam.
Bagi individu berkenaan, pegawai kastam akan melaksanakan langkah-langkah perubatan dan menjalankan pensampelan serta ujian mpox, menurut Pentadbiran Am Kastam China.
Kenderaan, kontena, kargo dan barang-barang lain dari negara dan wilayah yang dilaporkan ada kes mpox akan disanitasi jika didapati tercemar atau berpotensi tercemar.
Pentadbiran Kawalan dan Pencegahan Penyakit Kebangsaan serta Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan telah menggesa cawangan tempatan mereka untuk mengukuhkan kerjasama dan perkongsian maklumat dengan kastam serta pihak berkuasa berkaitan bagi mengesan dan menangani kes mpox dengan segera.
Virus mpox disebarkan terutamanya melalui hubungan fizikal rapat, terutamanya semasa aktiviti seksual, manakala risiko penyebaran melalui hubungan harian adalah lebih rendah, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China.
Mereka yang telah terdedah kepada mpox atau mengalami gejala harus segera mendapatkan perhatian perubatan, kata Li Tongzeng, pakar penyakit berjangkit di Hospital Youan Beijing.
Awal minggu ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan mpox sebagai kecemasan kesihatan awam yang menjadi perhatian antarabangsa, mengaktifkan tahap amaran global tertinggi untuk mpox buat kali kedua dalam tempoh dua tahun.
"Ini adalah sesuatu yang perlu kita semua bimbangkan... potensi penyebaran lanjut di Afrika dan di luar adalah sangat membimbangkan," kata Ketua Pengarah WHO Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus.
-- BERNAMA