China komited tentang perang nuklear

Bernama
Januari 4, 2022 21:40 MYT
Ma berkata, China sentiasa berpegang kepada strategi nuklear yang defensif dan mengamalkan dasar "tidak menggunakan senjata nuklear terlebih dahulu". - Gambar/ Reuters
BEIJING: China sentiasa menggalakkan konsep "tiada pihak yang akan menang dalam perang nuklear", ujar Timbalan Menteri Luarnya, Ma Zhaoxu pada Isnin.
Pengumuman itu dibuat susulan daripada kenyataan bersama yang dikeluarkan China, Rusia, Amerika Syarikat, Britain dan Perancis pada hari sama berhubung pencegahan perang nuklear dan perlumbaan penghasilan senjata.
Memetik kenyataan bersama tersebut, China berpendirian untuk sentiasa menentang perang nuklear selain konsisten mempromosi objektif yang terkandung di dalam pengumuman tersebut termasuk tidak menyasarkan satu sama lain mahupun negara ketiga dengan menggunakan senjata itu.
Buat julung kalinya, pemimpin lima negara itu mengeluarkan kenyataan bersama, sekali gus menzahirkan aspirasi politik secara muafakat bagi mengelakkan perang nuklear, memelihara kestabilan strategik global dan mengurangkan risiko pertembungan kuasa nuklear.
"Kelima-lima negara sebagai negara anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bertanggungjawab mengelakkan perang nuklear dan memelihara keamanan dunia," kata Ma lagi.
Tegasnya, China sentiasa berpegang kepada strategi nuklear yang defensif dan mengamalkan dasar "tidak menggunakan senjata nuklear terlebih dahulu", mengurangkan kekuatan nuklear ke tahap paling rendah demi keperluan pertahanan negara.
Ma berkata bahawa China juga akan terus menyumbang buah fikiran dan pelan kepada tabir urus global dalam bidang kuasa nuklear, serta bersedia bekerjasama dengan semua negara demi keamanan sejagat.
-- BERNAMA
#China #Perang nuklear #Ma Zhaoxu #perlumbaan senjata
;