China komited perluas dasar pintu terbuka
Bernama
Mei 23, 2022 05:45 MYT
Mei 23, 2022 05:45 MYT
BEIJING: China berjanji akan terus memberikan dorongan kepada pertumbuhan ekonomi global dan serantau, sekali gus komited untuk memperluas dasar pintu terbuka.
Komitmen itu disuarakan Menteri Perdagangan China, Wang Wentao ketika berucap pada Mesyuarat Menteri-menteri Perdagangan ke-28 Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), pada Ahad.
Beliau berkata China juga komited untuk menuju ke arah zon perdagangan bebas Asia Pasifik yang komprehensif dan bertaraf tinggi.
"Semua anggota APEC harus terlibat dalam membina komuniti berkongsi nasib Asia Pasifik, dan memantapkan lagi kerjasama praktikal dalam bidang perdagangan dan pelaburan," ujar Wang menerusi pautan video.
Mesyuarat dua hari itu diadakan di Bangkok.
Menurutnya, penglibatan China dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi serantau masih pada tahap konsisten termasuk melaksanakan perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) secara berkualiti tinggi, dan bersinergi dengan negara berkenaan untuk menaif taraf Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA).
"Kami (China) sedang berusaha ke arah menganggotai Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) serta Perjanjian Perkongsian Ekonomi Digital, sebagai usaha untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi," kata Wang.
Beliau menegaskan bahawa China sentiasa konsisten dalam pendiriannya mengenai sistem perdagangan pelbagai hala berteraskan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
"Kami akan terus menyumbang kepada kestabilan rantaian perindustrian dan rantaian bekalan global, sekali gus memberikan lebih banyak faedah buat semua pihak.
"APEC boleh memainkan peranannya sebagai penggalak, penstabil dan inkubator, di samping memberikan sokongan padu kepada peranan WTO," kata Wang.
Katanya, China bersedia mengukuhkan kerjasama dengan entiti ekonomi APEC lain dan menggerakkan Persidangan Menteri-Menteri WTO ke-12 sehingga mencapai hasil pragmatik termasuk membabitkan tindak balas COVID-19, dan reformasi WTO.
-- BERNAMA