China komited lindungi sistem antarabangsa diterajui PBB

Bernama
Jun 26, 2021 20:47 MYT
Sebagai anggota PBB yang bertanggungjawab, China memainkan peranan penting dalam usaha memelihara orde antarabangsa dan mengekalkan perdamaian dunia dalam tempoh 50 tahun lalu. - Gambar fail REUTERS
BEIJING: China komited melindungi sistem antarabangsa yang diterajui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu(PBB), menyokong peranan utama badan dunia itu dalam hal ehwal antarabangsa, di samping terus menyokong amalan multilateralisme, dan berusaha gigih bagi mewujudkan dunia yang aman dan membangun.
Demikian ujar Menteri Luar China merangkap anggota Dewan Negara, Wang Yi pada forum memperingati ulang tahun ke-50 pemulihan kerusi keanggotaan sah Republik Rakyat China di PBB.
Wang Yi menyingkap sejarah sokongan dan sumbangan diberikan China kepada PBB dalam misi pengaman, pembasmian kemiskinan dan usaha menangani isu perubahan iklim bagi menyokong PBB memainkan peranan yang penting dalam hal ehwal antarabangsa.
Forum pada Jumaat itu turut diserikan dengan kehadiran pakar dan sarjana dalam dan luar negeri, wakil pertubuhan antarabangsa termasuk PBB dan diplomat asing di China.
Mereka berpendapat, sebagai anggota PBB yang bertanggungjawab, China memainkan peranan penting dalam usaha memelihara orde antarabangsa, mengekalkan perdamaian dunia, mendorong pembangunan bersama dan menyahut cabaran global dalam tempoh 50 tahun lalu.
Wakil Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB (FAO) ke China, Carlos Watson menyifatkan pemulihan kerusi keanggotaan China di PBB itu sebagai titik penting dalam sejarah pertubuhan antarabangsa itu.
Beliau memuji kejayaan China membasmi kemiskinan dalam skala yang besar dan membawa manfaat kepada ramai penduduk.
Selain itu, beliau menghargai usaha China menubuhkan Tabung Kedamaian dan Pembangunan China- PBB dan memperuntukkan US$2 bilion (RM8.3 bilion) untuk usaha melawan pandemik COVID-19.
Pada Oktober 1971, Perhimpunan Agung PBB ke-26 meluluskan Resolusi 2758 dengan majoriti mengundi menyokong untuk memulihkan sebarang hak dan kepentingan sah dimiliki Republik Rakyat China dalam pertubuhan antarabangsa tersebut.
Sejak itu, China sentiasa menegakkan manifesto dan prinsip Piagam PBB, memelihara sistem antarabangsa yang diterajui PBB, mendorong pembinaan Komuniti Berkongsi Nasib Sesama Insan dan menyertai tadbir urus sejagat.
China menghulurkan bantuan bernilai RMB400 bilion (RM257 bilion) kepada 166 negara dan pertubuhan antarabangsa dalam kerangka kerjasama selatan-selatan selain memberi bantuan kepada lebih 120 buah negara membangun bagi mewujudkan Matlamat Pembangunan Milenium PBB.
Di samping itu, tentera China telah menyertai lebih 20 misi pasukan pengaman PBB, selain menghantar lebih 50 ribu anggota pengaman, paling ramai antara lima negara anggota tetap Majlis Keselamatan.
Dalam perkembangan lain, logo untuk memperingati ulang tahun ke-50 pemulihan kerusi keanggotaan itu turut dilancarkan pada forum tersebut.
-- BERNAMA
#COVID-19 #PBB #Dewan Negara #China #pandemik #sistem antarabangsa #Menteri Luar China #wang yi #Ulang Tahun Ke-50 #pemulihan kerusi keanggotaan