China komited kepada kedamaian kerjasama dan pembangunan
Bernama
Jun 5, 2023 21:59 MYT
Jun 5, 2023 21:59 MYT
BEIJING: China akan memelihara kedamaian dunia dengan tindakan konkrit di samping aktif menyumbang untuk menawarkan lebih banyak produk keselamatan awam kepada masyarakat antarabangsa.
Demikian kata para pakar delegasi China pada sidang media selepas Dialog Shangri-La ke-20 yang menutup tirainya di Singapura, pada Ahad.
Terdahulu, jurucakap Kementerian Pertahanan Negara China, Tan Kefei, berkata pada Sidang Shangri-La kali ini, China dengan pemimpin atau ketua delegasi dari Malaysia, Singapura, Kemboja, Filipina, Indonesia, Mongolia, New Zealand, Jerman, Britain, Australia, Jepun dan Korea Selatan serta pihak urusan pertahanan Kesatuan Eropah bertukar-tukar pendapat mengenai hubungan dua hala, situasi serantau antarabangsa dan isu Taiwan dan Laut China Selatan yang menjadi isu kepentingan bersama.
Pakar dari delegasi China turut mengambil peluang untuk membentangkan konsep "inisiatif keselamatan yang baharu".
Menurut pakar ketenteraan China yang juga bekas Naib Presiden Akademi Sains Ketenteraan China, He Lei, Inisiatif Keselamatan Sejagat merupakan cerminan konkrit inisiatif komuniti berkongsi nasib sesama insan dalam bidang keselamatan antarabangsa yang menganjurkan pandangan keselamatan secara bersama, komprehensif, kerjasama dan mapan.
Pada masa sama, para pakar China turut melihat sidang dialog Shangri-La sebagai platform bagi membincangkan isu keselamatan berbanding pentas pertunjukan bagi menghasut hegemoni.
Profesor Madya dari Institut Keselamatan Negara Universiti Pertahanan Negara Pasukan Pembebasan Rakyat China, Zhang Chi, berkata situasi Selat Taiwan yang tegang adalah jelas dicetuskan tindakan provokasi Amerika Syarikat (AS).
"AS berkata bahawa mereka mahu untuk berkomunikasi dengan China dalam bidang ketenteraan, tetapi sebenarnya terus membuat cabaran terhadap garis merah China.
"Ini bukan sahaja telah merosakkan asas politik bagi hubungan China-AS, malah turut membuatkan situasi keselamatan serantau semakin runcing," kata beliau.
-- BERNAMA