China keluarkan sisik tenggiling daripada senarai ramuan ubat tradisional
Agensi
Jun 11, 2020 08:43 MYT
Jun 11, 2020 08:43 MYT
CHINA mengeluarkan sisik tenggiling daripada daftar ramuan yang diluluskan untuk digunakan dalam perubatan tradisional Cina, bermula tahun ini.
Ia dianggap sebagai satu langkah terdesak bagi melindungi haiwan itu yang merupakan antara haiwan paling kerap diseludup.
Tahun lalu sahaja, pihak berkuasa merampas lebih daripada 130 tan produk yang menggunakan tenggiling sebagai ramuan, angka yang dianggarkan mewakili kira-kira 400,000 haiwan itu, menurut laporan WildAid.
Walaupun sisik tenggiling mengandungi keratin, bahan yang sama pada kuku manusia dan tanduk badak, namun pakar perubatan tradisional Cina percaya keratin pada sisik tenggiling lebih mujarab untuk memperbaiki peredaran darah dan mengurangkan keradangan.
"Tindakan China ini akan memberi impak yang besar. Ini adalah langkah yang sangat penting dan perlu diambil jika kita mahu memulihara haiwan ini," kata David Olson, pengarah Konservasi di WWF Hong Kong.
"Sebilangan besar permintaan untuk tenggiling adalah bagi kegunaan perubatan tradisional Cina. Itulah yang mendorong perdagangan haram skala besar," tambahnya.
Menurut Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam, populasi tenggiling di China telah menurun lebih dari 90 peratus sejak tahun 1960.