China keluar amaran kuning Taufan Koinu

Bernama
Oktober 3, 2023 14:33 MYT
Imej satelit yang diambil oleh satelit cuaca Jepun, Himawari-8 menunjukkan Taufan Koinu menghampiri Taiwan pada Selasa, 3 Okt 2023. -AP
BEIJING: Balai cerap China pada pagi Selasa mengeluarkan amaran kuning untuk Taufan Koinu, amaran ketiga paling teruk dalam sistem amaran taufan empat peringkatnya.
Taufan ke-14 pada tahun ini dijangka membawa angin kencang ke bahagian selatan dan timur negara itu.
Koinu, yang dicerap pada 20.2 darjah lintang utara dan 125.2 darjah bujur timur pada 5 pagi Selasa, dijangka bergerak ke barat laut pada kelajuan 10 hingga 15 km sejam, kata Pusat Meteorologi Nasional, lapor Xinhua.
Ia akan mendarat di suatu tempat di sepanjang kawasan pesisir di sekitar bahagian selatan Pulau Taiwan China, atau mungkin melintasi Pulau Taiwan tanpa membuat pendaratan dan bergerak ke barat dengan intensiti menurun secara beransur-ansur dari petang Rabu hingga pagi Khamis.
Pusat itu menggesa pihak berkuasa tempatan untuk menyediakan langkah-langkah tindak balas kecemasan taufan dan kekal berwaspada terhadap kemungkinan banjir dan bencana geologi.
-- BERNAMA
#Taufan Koinu #Balai cerap China #sistem amaran taufan #angin kencang
;