China, Jepun adakan dialog politik peringkat tertinggi di Beijing

Bernama
November 5, 2024 09:00 MYT
Diplomat tertinggi China dan Penasihat Khas kepada Kabinet Jepun juga Setiausaha Agung Sekretariat Keselamatan Nasional Jepun mengadakan rundingan di bawah mekanisme dialog politik peringkat tinggi China-Jepun di Beijing pada Isnin.
BEIJING: Diplomat tertinggi China, Wang Yi, dan Takeo Akiba, Penasihat Khas kepada Kabinet Jepun juga Setiausaha Agung Sekretariat Keselamatan Nasional Jepun, mengadakan rundingan di bawah mekanisme dialog politik peringkat tinggi China-Jepun di Beijing pada Isnin.
Wang, yang juga Pengarah Pejabat Suruhanjaya Hal Ehwal Luar Jawankuasa Pusat Parti Komunis China (CPC) dan Ahli Biro Politik Jawatankuasa Pusat CPC berkata hubungan China-Jepun berada pada peringkat penting dalam usaha penambahbaikan.
Beliau berkata kedua-dua pihak perlu menuruti kata sepakat yang dicapai pemimpin.
Beliau menyeru komitmen dalam meningkatkan dan mengembangkan hubungan dua hala, serta mewujudkan hubungan China-Jepun yang membina dan stabil dan memenuhi keperluan era baharu.
Wang menekankan, Jepun perlu membentuk pemahaman yang objektif dan rasional tentang China, menghormati komitmen politiknya mengenai isu Taiwan, dan dengan bersungguh-sungguh menjaga asas politik hubungan China-Jepun.
Beliau menggesa Jepun untuk mengambil tindakan konkrit bagi melaksanakan kesepakatan penting iaitu "menjadi rakan kerjasama antara satu sama lain dan bukannya ancaman," serta mempromosikan pembangunan hubungan dua hala yang stabil untuk jangka panjang.
Kedua-dua pihak menegaskan akan mematuhi prinsip dan mencapai kata sepakat yang ditetapkan dalam empat dokumen politik antara China dan Jepun, serta komited untuk memajukan hubungan strategik yang saling menguntungkan secara menyeluruh.
Mereka mencapai persetujuan untuk mengekalkan hubungan peringkat tinggi, dialog dan pertukaran dalam pelbagai bidang, dan menghantar isyarat yang lebih positif kepada dunia luar.
Kedua-dua pihak percaya, China dan Jepun, sebagai dua jiran penting dengan pembangunan yang saling berkaitan serta ekonomi yang sangat saling melengkapi, tidak seharusnya dan tidak akan berpisah, akan mempromosikan kerjasama ekonomi dan perdagangan yang sihat serta rantaian pengeluaran dan bekalan yang stabil dan lancar.
Mengenai pelepasan air tercemar nuklear dari Stesen Kuasa Nuklear Fukushima Daiichi, kedua-dua pihak bersetuju untuk mempercepatkan susulan dan pelaksanaan kesepakatan politik dua hala.
Wang menekankan, China amat komited kepada jalan pembangunan aman, menerapkan dasar pertahanan negara yang bersifat mempertahankan diri, dan merupakan negara utama dengan rekod terbaik dalam keamanan dan keselamatan.
China akan terus menegakkan keadilan dan keamanan untuk menghalang perang atau kekacauan di rantau ini.
Wang berharap semua pihak bersama-sama menolak pengaruh kekuatan bukan serantau yang mencetuskan konfrontasi dan mengambil tindakan konkrit untuk menjaga keamanan dan kestabilan serantau.
- BERNAMA-XINHUA
#Beijing #China-Jepun #dialog politik #Hubungan dua hala
;