China jangka 9 bilion trip antara wilayah semasa musim puncak perayaan Tahun Baharu Cina

Bernama
Disember 31, 2024 07:20 MYT
Gambar fail menunjukkan penumpang menunggu untuk memasuki kereta api bawah tanah di luar Stesen Kereta Api Beijing, selepas tiba dengan kereta api semasa perjalanan Tahun Baharu Cina pada 11 Februari 2019. - Gambar Reuters
BEIJING: Sekitar sembilan bilion perjalanan antara wilayah dijangka dicatatkan di China sepanjang musim puncak perjalanan bagi menyambut Tahun Baharu Cina yang akan datang, menurut satu sidang telekomunikasi kebangsaan pada Selasa.
Angka ini diunjurkan meningkat tujuh peratus daripada musim puncak perjalanan perayaan tahun lepas dan berpotensi mencatat rekod tertinggi, lapor agensi berita Xinhua.
Musim perjalanan tahunan ini, yang dikenali sebagai Chunyun, lazimnya menyaksikan lonjakan permintaan pengangkutan apabila orang ramai pulang ke kampung halaman untuk menyambut perayaan bersama keluarga. Chunyun bagi tahun 2025 dijadual berlangsung dari 14 Jan hingga 22 Feb 2025.
Jumlah perjalanan merentas wilayah menggunakan kereta api dan penerbangan awam juga dijangka mencatat rekod baharu, masing-masing sebanyak 510 juta dan 90 juta perjalanan.
Lapan jabatan kerajaan, termasuk Kementerian Pengangkutan, pada Selasa mengumumkan pelan tindakan untuk memastikan keselamatan, kelancaran operasi, dan perkhidmatan semasa musim perjalanan itu.
Menurut Xinhua, pelan itu merangkumi langkah-langkah untuk memastikan bekalan perkhidmatan pengecasan bagi kenderaan tenaga baharu (NEV), termasuk usaha membuka lebih banyak kemudahan pengecasan di kawasan perkhidmatan yang sibuk serta memberi panduan kepada pemandu untuk memastikan tempat letak kenderaan dan pengecasan dilakukan secara teratur semasa tempoh perjalanan puncak.
Perayaan Tahun Baharu Cina, yang merupakan perayaan tradisional paling penting di China, akan disambut pada 29 Jan 2025.
-- BERNAMA
#Tahun Baharu Cina #China #9 bilion trip #Chunyun
;