China jadikan pengalaman pencegahan COVID-19 untuk hadapi pandemik masa depan
Bernama
Mac 9, 2024 06:00 MYT
Mac 9, 2024 06:00 MYT
BEIJING: China akan menjadikan pengalaman dalam pencegahan dan kawalan COVID-19 untuk membuat persediaan yang lebih proaktif untuk menghadapi pandemik masa depan seperti "Penyakit X", kata Ketua Pentadbiran Kawalan dan Pencegahan Penyakit Kebangsaan China, Wang Hesheng.
Wang berkata kerajaan China akan melaksanakan pendekatan holistik terhadap keselamatan negara dan bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkaitan untuk meningkatkan kesiapsiagaan.
"Walaupun Penyakit X sukar dielakkan, pandemik yang mungkin dicetuskan oleh penyakit itu boleh dicegah dan dielakkan. Kita perlu membuat persediaan yang lebih rapi untuk menangani ketidakpastian pandemik," katanya.
Beliau berkata demikan dalam sidang media di luar sesi kedua Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) ke-14 China yang diadakan pada Sabtu.
Pada Mei 2023, ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus memberi amaran bahawa dunia harus bersedia menghadapi pandemik seterusnya yang mungkin lebih berbahaya berbanding COVID-19.
Mengulas lanjut Wang berkata China akan mengambil beberapa langkah pencegahan seperti membina sistem dan peraturan yang lebih baik, melaksanakan kawalan pencegahan penyakit menurut undang-undang, meningkatkan peruntukan sumber dan mekanisme peralihan antara operasi biasa dan risiko kecemasan.
"Kami (juga) akan membina dan menambah baik pemantauan berbilang saluran dan sistem amaran awal serta memperkukuh penilaian risiko dalam penyakit berjangkit untuk mengenal pasti mereka lebih awal," katanya.
Wang berkata China juga akan mengambil bahagian aktif dalam tadbir urus kesihatan awam global, memajukan kerjasama dengan WHO serta organisasi antarabangsa lain dan negara lain selain mengambil bahagian secara aktif dalam memuktamadkan perjanjian pandemik dan peraturan kesihatan antarabangsa.
Pada sidang media sama, China berikrar untuk mengekalkan pekerjaan yang stabil, disokong oleh lima bidang tumpuan termasuk menggalakkan keusahawanan, meningkatkan kemahiran pekerja, memastikan pasaran pekerjaan yang dinamik dan menyokong kumpulan utama.
Menteri Sumber Manusia dan Keselamatan Sosial Wang Xiaoping berkata terdapat permintaan kukuh untuk bakat dalam bidang seperti kecerdasan buatan dan data besar manakala permintaan juga meningkat dalam beberapa sektor, termasuk penjagaan kesihatan, penginapan, katering dan pelancongan kebudayaan.
-- BERNAMA