China, Indonesia ikrar ganding bahu ke arah komuniti berkongsi nasib

Bernama
Julai 27, 2022 14:41 MYT
China bersedia memperkukuh sikap saling percaya yang strategik bersandarkan komuniti berkongsi nasib dengan Indonesia, kata Presiden Xi Jinping dalam rundingan bersama rakan sejawatnya dari Indonesia, Joko Widodo (Jokowi). - Gambar REUTERS
BEIJING: China bersedia memperkukuh sikap saling percaya yang strategik bersandarkan komuniti berkongsi nasib dengan Indonesia, kata Presiden Xi Jinping dalam rundingan bersama rakan sejawatnya dari Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) di sini, pada Selasa.
Beliau turut menzahirkan komitmen China untuk berganding bahu dengan Indonesia supaya saling menyokong dalam mempertahankan kedaulatan, keselamatan dan kepentingan pembangunan, meneroka pembangunan yang selaras dengan keadaan negara sendiri, serta memacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat.
Xi menyarankan kedua-dua negara supaya memperdalam kerjasama berorientasikan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), menjayakan pembinaan landasan kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Jakarta-Bandung seperti yang dijadualkan, di samping menjayakan projek kerjasama penting seperti 'Koridor Ekonomi Komprehensif Serantau' dan 'Dua Negara, Dua Taman'.
Dalam pada itu, China akan terus menyokong Indonesia membina pusat pengeluaran vaksin COVID-19, sambil memperluas pengimportan komoditi pukal dan produk pertanian dari Indonesia.
"Kedua-dua negara perlu menggalas tanggungjawab sebagai negara membangun yang penting, mengamalkan multilateralisme jitu, menjunjung semangat kedaerahan yang terbuka dan menyumbang tenaga Asia kepada tadbir urus global," ujar Xi.
Jokowi dalam ucapannya pula berkata, kerjasama antara Indonesia dan China adalah saling menguntungkan.
Beliau menyifatkan ia bukan sekadar membawa kesejahteraan kepada rakyat kedua-dua negara, tetapi juga memberi sumbangan penting kepada kedamaian dan pembangunan dunia.
Jokowi turut menyahut saranan Xi dengan menyatakan kesediaan pihaknya untuk berusaha bersama China bagi terus memperdalam perkongsian strategik komprehensif.
Beliau juga mengalu-alukan penglibatan China dalam pembinaan ibu negara baharu Indonesia dan Taman Industri Hijau Kalimantan Utara, memperkasa penyelarasan gagasan 'fulkrum maritim global' dengan BRI, selain memperdalam kerjasama dalam bidang pelaburan, teknologi, vaksin dan perubatan.
Kedua-dua pihak menandatangani memorandum persefahaman (MoU) mengenai usaha sama mendorong sinergi membabitkan BRI dan gagasan 'fulkrum maritim global', serta dokumen kerjasama melibatkan vaksin, pembangunan mesra alam, keselamatan siber dan maritim. - BERNAMA
#China #Indonesia #Presiden Xi Jinping #Presiden Jokowi
;